AM

Industri Perabot Malaysia Akan Kekal Berdaya Tahan Walaupun Hadapi Persaingan Sengit - Tpm Fadillah

08/12/2023 11:50 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Industri perabot Malaysia kekal berdaya tahan walaupun terdapat saingan sengit daripada negara seperti China dan Vietnam, dan kerajaan komited untuk menyokong pertumbuhan dan daya saingnya dengan meningkatkan lagi rantaian nilai industri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata industri berkenaan menghadapi cabaran seperti penurunan permintaan perabot antarabangsa terutamanya daripada pengimport utama, Amerika Syarikat.

“Sehubungan itu, kerjasama dengan kementerian dan agensi menjadi penting untuk mengenal pasti pasaran baharu dan mengguna pakai trend e-dagang,” katanya dalam ucapannya pada majlis makan malam gala ulang tahun Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) ke-30 malam ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata evolusi industri daripada ketukangan artisan kepada kaedah pembuatan moden menyerlahkan keperluan untuk penyepaduan teknologi dan inovasi.

“Oleh itu, menerima teknologi, mekanisasi dan automasi akan mengoptimumkan pengeluaran, mengurangkan kos, memastikan kualiti dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing yang seiring dengan matlamat kemampanan negara,” katanya.

Fadillah berkata peralihan ke arah ekonomi kitaran bukan sahaja memastikan kemampanan tetapi juga memenuhi keutamaan asas pengguna yang mementingkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Justeru, menggalakkan generasi muda menerima pendigitalan dan teknologi boleh menggiatkan industri dengan menyelaraskan amalan tradisional dengan inovasi,” katanya.

MIFF ialah pameran perdagangan perabot berorientasikan eksport terbesar dan terkemuka di Asia Tenggara, mempamerkan koleksi terluas perabot kayu buatan Malaysia, perabot rumah dan perabot pejabat.

Sejak 1995, MIFF telah menjadi platform sehenti yang menghubungkan komuniti yang lebih luas dengan lebih 20,000 pembeli dari 140 negara dan wilayah.

Fadillah berkata bahawa rekod MIFF adalah cemerlang, selepas menjana US$18.4 bilion (US$1=RM4.66) dalam jualan dan tahun ini mencatatkan US$1.21 bilion pesanan, jumlah sangat mengagumkan, peningkatan 19 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas MIFF Datuk Dr Tan Chin Huat berkata MIFF akan terus menjadi peneraju eksport perabot Malaysia bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengeluar global.

“Hari ini, MIFF berada di kedudukan antara 10 pameran perdagangan perabot terbaik dunia dan merupakan yang terbesar di Asia Tenggara. Secara jujurnya saya mahu menyatakan bahawa tanpa sokongan industri perabot Malaysia, MIFF tidak akan menjadi seperti hari ini.

“Izinkan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan agensinya atas sokongan padu mereka terhadap MIFF dan rakan strategik MIFF, Persatuan Perabot Muar atas kerjasama mereka sejak 10 tahun lepas,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Selain itu, Tan juga mengumumkan bahawa MIFF 2024 akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

“Kedua-dua tempat itu akan mempunyai 17 dewan untuk mempamerkan rangkaian perabot rumah, pejabat, hotel, aksesori, hiasan, komponen dan bahan.

"Pengeksport terbesar Malaysia akan disertai pempamer dari China, Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Turkiye dan Vietnam," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan