FOKUS BERNAMA

PERSPEKTIF: SUKARNYA HIDUP TANPA PLASTIK, WALAUPUN CUMA SEHARI

15/12/2023 12:09 PM
Daripada Nina Muslim

Ahad lalu, hari yang saya dan rakan sejawatan janjikan sebagai hari tanpa plastik, tidak bermula dengan baik,  setidak-tidaknya bagi saya. 

Manakan tidak, terlupa agenda pada hari itu, perkara pertama yang saya lakukan sebaik bangun tidur ialah mencapai telefon bimbit - peranti hasil campuran plastik, aluminium, besi, litium, emas dan tembaga - bagi menyemak teks pesanan serta membaca berita terkini.

Beberapa ketika kemudian, otak saya “terjaga” sepenuhnya dan teringat akan ikrar kami yang bermatlamat untuk melihat sejauh mana kita dapat hidup tanpa menggunakan plastik. 

Seperti yang berlaku pada saya, hari baru sahaja bermula, matlamat untuk hidup sehari tanpa plastik sudahpun “ke laut” (istilah slanga bermaksud  “sudah tersasar dari matlamat”). 

Sebelum menyahut cabaran ini, saya ingatkan diri saya agar tidak menggunakan atau menyentuh sebarang benda plastik jika bukan untuk tujuan perubatan atau kesihatan. Saya tahu cabaran ini memang amat sukar, namun saya tidak menyangka secepat itu saya melanggar ikrar berkenaan.

Pakar alam sekitar dan aktivis memberitahu saya bahawa memang mustahil untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan plastik. Akan tetapi, diberitahu dan mengalaminya sendiri adalah dua perkara berbeza. Saya perlu lihat sendiri realiti bahawa plastik - mudah, murah, tahan lasak serta boleh dikatakan hampir-hampir kekal abadi - telah sebati dalam kehidupan kita. 

Sebaik sahaja teringat akan ikrar kami, saya ubah parameter eksperimen. Kali ini saya beritahu diri saya agar cuba sedaya upaya kurangkan penggunaan plastik sebanyak mungkin. Cari alternatif bagi setiap barang yang ada plastik.   

Saya juga tambah satu lagi peraturan, iaitu alang-alang telah disentuh dan diguna, maka barang plastik itu boleh terus digunakan mengikut keperluan.

pic-2

Lagipun saya memang perlukan telefon bimbit untuk tujuan kerja. Saya bersetuju untuk merakam video kehidupan saya pada hari itu. Oleh sebab saya bercadang meminta bantuan suami, bermakna saya tidak mencabuli ikrar bebas plastik kerana yang menyentuh dan menggunakan telefon itu adalah suami saya.

Suami saya menghela nafas lega apabila mengetahui khidmatnya tidak lagi diperlukan dalam eksperimen saya.

Rakan sejawatan saya Amirul Mohd Sajadi, berjaya bertahan lebih lama - hanya menggunakan telefonnya pada lewat petang. Dia bangun dan mulakan harinya tanpa plastik. Bagi merekodkan aktiviti hari itu, dia menggunakan buku nota dan pensel.

“Bukan tidak mahu menggunakan pen, tetapi kebanyakan pen di pasaran adalah campuran plastik dan amat sukar untuk mendapatkan yang bebas plastik. Alternatif terbaik adalah pensel  yang diperbuat daripada kayu,” jelasnya. 

Skor: Plastik=1, Amirul=1, Saya=0

 

PENJAGAAN DIRI

Kemudian, rutin penjagaan diri, iaitu menggunakan tandas, mandi dan berhias. Tandas juga mempunyai unsur plastik, iaitu satu lagi pelanggaran, namun saya tidak ada pilihan melainkan tukar tempat duduk tandas itu daripada plastik kepada kayu, atau tinggal bersendirian di kawasan yang jauh dari orang lain dan gunakan baldi serta penyodok.

“Saat melangkah ke dalam bilik mandi, (saya) berasa cabaran sebenar bermula,” kata Amirul melalui WhatsApp.

Dalam bab ini, saya mencatatkan keputusan yang lebih baik berbanding Amirul kerana saya telah sediakan alternatif bebas plastik. 

 Walaupun kami berdua membeli berus gigi buluh, pembungkus ubat gigi Amirul adalah plastik. Sabun dan syampunya juga di dalam botol plastik, namun kedua-dua bekas berkenaan adalah barang guna semula dengan kandungan pula adalah isian semula.

Saya pula telah menyediakan barangan bebas plastik untuk rutin penjagaan diri, dibeli dari sebuah kedai sifar sampah di Subang Jaya, Selangor. Ubat gigi saya adalah jenis boleh dikunyah, iaitu tablet kelabu berbentuk bunga berharga RM16.20, diisi di dalam botol kaca pati ayam yang diguna semula.

Bagi saya, berus gigi buluh tidak dapat membersihkan gigi saya sebaik berus gigi plastik, namun ini mungkin tanggapan saya sahaja kerana saya tidak biasa dengan berus gigi itu. Ubat gigi pula rasanya seperti campuran pudina dan tanah. Tablet yang dikunyah itu terlekat pada sebatang gigi menyebabkan saya terpaksa memberus dengan kuat agar bahan itu tersebar ke seluruh mulut. Ludah pula berwarna kelabu, iaitu satu lagi keadaan yang saya perlu biasakan diri.

Sebahagian daripada rutin penjagaan diri saya ialah menggunakan pelembab muka. Mujurlah krim pelembab saya terkandung dalam bekas kaca dan besi. Cuma penutup pelindung sahaja plastik, iaitu sesuatu yang saya dapat buang tanpa menyentuh bahan itu - hanya dengan menjongketkan botol kaca tersebut dan penutup berkenaan terkeluar.

Berus rambut saya pula adalah kombinasi kayu dan getah, berharga RM25.90. Saya tidak boleh bersolek memandangkan produk kosmetik dibungkus dalam plastik. Akan tetapi, saya memang ada celak berkayu serta balm bibir berona bebas plastik berharga RM28 yang saya oles pada mata, pipi dan bibir. Olesan itu meninggalkan kesan yang lembut dan tidak membuatkan saya kelihatan seperti badut.

Skor: Plastik=2, Amirul=0, Saya=1

Oleh sebab saya rabun jauh, saya tidak ada pilihan melainkan memilih sama ada menggunakan kanta lekap atau kaca mata, kedua-duanya daripada plastik. Saya pilih kanta lekap. Sekalipun aspek ini adalah pengecualian dalam cabaran bebas plastik, saya tetap rasa bersalah.

pic-3

Dari segi pakaian, saya tahu yang saya akan gagal dalam cabaran ini. Jika Amirul memakai baju dan seluar daripada kain kapas sepenuhnya, saya pula terpaksa mengenakan pakaian dalam yang diperbuat daripada nilon, iaitu polimer sintetik.

Memanglah ada pilihan lain jika saya mahu kekal bebas plastik, namun pilihan yang tersedia itu tidak sesuai mahupun dialu-alukan oleh masyarakat. Saya juga tidak mahu berbuat demikian.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang sudahpun mengenakan pakaian dalam daripada sejenis plastik, saya memilih untuk melengkapkan penampilan saya dengan berbaju senam yang diperbuat daripada poliester dan nilon.

Skor: Plastik=3, Amirul=2, Saya=1

 

BEKAS MAKANAN BEBAS PLASTIK

Satu lagi lagi cabaran ialah melakukan aktiviti harian tanpa plastik. Bagi saya,  rutin hari Ahad ialah makan tengah hari bersama ibu bapa saya. Seperti biasa, masakan ibu memang sedap dan mujurlah ibu saya ini jenis yang menggunakan pinggan mangkuk seramik dan kaca dengan kutleri keluli tahan karat.

Selesai makan tengah hari, ibu bertanya sama ada saya mahu membawa pulang lebihan makanan.

“Ada bekas daripada kadbod?” tanya saya, menyesal kerana terlupa tentang hal itu. Ibu jawab tidak ada. 

Ruginya tidak dapat bawa pulang masakan ibu, hanya kerana saya terlupa untuk menyediakan bekas bebas plastik dan bekas makanan terbiodegradasi yang dikeluarkan oleh syarikat seperti  Circlepac Malaysia dan Team Recycler Malaysia.

Wakil Circlepac memberitahu saya bahawa produk mereka dijual kepada orang ramai, namun tempahan minimum ialah 100 keping. Oleh sebab hanya boleh dibeli secara pukal, harga yang perlu dibayar mungkin terlalu tinggi bagi orang ramai. Contohnya, mangkuk bersegi empat daripada buluh bersaiz 700 mililiter dengan penutup T-lock, berharga RM84. 

Amirul pula membawa bekas kaca ketika membeli makanan di sebuah kendera saji. Katanya, orang ramai memandangnya dengan pelik apabila dia menghulurkan bekas makanan itu. Ada yang bertanya mengapa, dan terpaksalah dia bercerita tentang cabaran tersebut.

“Sekarang amat susah untuk hidup tanpa plastik, dah sebati dengan kehidupan kita," kata pemilik restoran Siti Salbiah Sulaiman, 40, selepas mendengar penjelasan Amirul.

Skor: Plastik=3, Amirul=3, Saya=2

Menjelang 3 petang, Amirul berkata dia berasa semakin lelah untuk terus mengelak daripada menggunakan barang plastik. Begitu juga saya, namun saya tetap mahu terus mencuba hidup tanpa plastik. Saya pergi membeli-belah barang dapur, namun hampir kesemua barang yang saya perlukan melibatkan plastik, dengan kebanyakannya dibungkus menggunakan plastik.

Pada akhirnya, saya hanya beli beberapa tin minuman dan sayur saderi tanpa pembungkus. Kesemua barangan itu saya masukkan ke dalam beg kanvas yang saya bawa. Saya ternampak inisiatif bebas plastik di kedai runcit, iaitu perkhidmatan isian semula untuk susu, menggunakan botol kaca. 

Tetapi tiada gunanya kerana saya intoleransi laktosa.

pic-4

Saya gunakan telefon bimbit untuk membayar barang dapur, jadi tidak ada pelanggaran ikrar. Jika saya guna wang tunai atau kad kredit/debit, maknanya saya, sekali lagi, melanggar ikrar.

Untuk makan malam, saya singgah di sebuah restoran yang menggunakan bekas yang diperbuat daripada kertas bagi membungkus makanan dibawa pulang. 

Pada kira-kira 10 malam, saya putuskan untuk menaiki pengangkutan awam. Saya akui saya mengelat kerana saya serahkan barang yang dibeli kepada suami untuk dibawa pulang dengan kereta kami.

Sementara itu, saya berada dalam dilema semasa mahu membeli tiket pengangkutan awam. Saya ada kad Touch ‘n Go yang diperbuat daripada plastik tapi boleh ditambah nilai dan diguna semula. Plastik bermakna tidak bagus, tetapi guna semula adalah sebaliknya. Tiket pula daripada kertas, tetapi ada jalur plastik padanya. Selain itu, ticket tersebut hanya sekali guna, iaitu tidak bagus.

Saya memilih untuk guna kad Touch ‘n Go. Akan tetapi wajarkah saya beri satu mata untuk diri sendiri walaupun terpaksa gunakan plastik?

Saya putuskan bahawa penggunaan kad plastik itu membatalkan niat baik saya. Lagipun eksperimen itu sudah menghampiri penghujung. Saya potong satu poin Amirul kerana tidak dapat bertahan sehari. 

Skor: Plastik=4, Amirul=2, Saya =2 

 

KESIMPULAN

Jelas, pemenangnya adalah plastik dan industri plastik.

Inisiatif semasa untuk mengurangkan sisa plastik, seperti menggantikan beg plastik dengan beg kanvas semasa di kaunter pembayaran pasar raya tidak akan membawa impak yang diharapkan jika kita tidak mengurangkan jumlah plastik yang kita guna bagi membungkus makanan dan barang keperluan isi rumah.

Saya mulakan hari dengan sasaran bebas plastik. Saya akhiri hari itu dengan matlamat sifar sisa.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib berkata selagi ada manusia, selagi itulah akan ada sampah.

Justeru, muslihatnya ialah mengurangkan jumlah sampah yang dijana dengan mengurangkan, menggunakan semula serta mengitar semula, atau turut dikenali sebagai gaya hidup sifar sampah.

“Kita perlukan lebih banyak kedai dan perniagaan menerima guna konsep kelestarian dan bekerja seiring dalam menyelesaikan masalah sampah dengan menggalakkan guna semula, mengurangkan dan mengitar semula (barangan). Beri diskaun kepada pelanggan yang bawa botol, bekas, mangkuk tingkat atau beg guna semula dari rumah,” katanya.  

Malaysia mempunyai pilihan dalam membantu mengurangkan jumlah sisa plastik, namun barangan bebas plastik di pasaran adalah terhad dan jumlah kedai sifar sampah pula tidak banyak. 

pic-5

Saya juga mendapati gaya hidup bebas plastik lebih mudah dijalani jika anda lelaki atau berduit.

Justeru, apa langkah seterusnya? Mustahil untuk menjalani kehidupan bebas plastik sepenuhnya, namun pengasas Lips Carpenter Law Yifon berkata mengurangkan pencemaran plastik masih boleh dilakukan dengan menggantikan sesetengah barangan plastik lazim dengan pilihan bebas plastik. 

Bagaimanapun beliau mengakui hal itu akan mengambil masa untuk diarusperdanakan.

“Mulakan dengan langkah kecil,” katanya.

 

(Artikel ini adalah yang terakhir daripada siri laporan tiga bahagian tentang plastik serta cara hidup dengan dan tanpa plastik)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan