AM

Tambang Percuma Oku Untuk Semua Perkhidmatan Prasarana Mulai 1 Feb - Loke

21/12/2023 01:22 PM

KAJANG, 21 Dis (Bernama) -- Semua pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bakal menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan kenderaan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Feb 2024, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata inisiatif itu melibatkan semua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Prasarana di sekitar Lembah Klang.

Prasarana, katanya diberi tempoh sebulan untuk melakukan persiapan dan menyelaraskan sistem tiket termasuk pemberian kad konsesi khas kepada pengguna OKU.

“Pengguna hanya perlu mengemukakan kad OKU yang dikeluarkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan memohon kad berkenaan.

“Prasarana bersetuju untuk memberikan tambang percuma kepada OKU, walaupun memberi impak kewangan kepada Prasarana. Kemudahan ini sebahagian daripada CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka,” katanya pada sidang media di Stesen MRT Stadium Kajang di sini hari ini.

Loke berkata inisiatif itu adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang perjalanan untuk penumpang OKU.

Terdahulu, Loke merasmikan projek rintis koc wanita bagi perkhidmatan MRT laluan Kajang di Stesen MRT Bandar Tun Hussien Onn, Cheras.

Beliau bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah turut dibawa menaiki MRT itu untuk meninjau pelaksanaan koc wanita berkenaan.

Mengulas mengenai projek rintis itu, Loke berkata pelaksanaan koc wanita antara usaha untuk meningkatkan keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang wanita selain mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa gangguan seksual.

Menurut Loke sejak koc wanita MRT bagi laluan Kajang dilancarkan pada 18 Sept lepas, aduan berkaitan isu gangguan seksual menunjukkan trend penurunan daripada lapan kes pada suku pertama tahun ini kepada hanya tiga kes dalam suku keempat iaitu hingga bulan lepas, walaupun jumlah penumpang meningkat. 

Sehubungan itu, katanya projek rintis berkenaan akan diperluas bagi laluan Putrajaya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan