JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Hari Berpaut Pada Pokok Bakau, Remaja Perempuan Diselamatkan

23/12/2023 07:27 PM

BUTTERWORTH, 23 Dis (Bernama) -- Seorang remaja perempuan terpaksa berpaut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan di Penang Port Sdn Bhd, di sini, selama dua hari sebelum diselamatkan hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Faris Izwan Ahmad Fadzilah berkata mangsa berusia 17 tahun itu berjaya diselamatkan selepas lambaiannya meminta tolong disedari seorang pegawai operasi bomba pelabuhan kira-kira 9 pagi tadi.

"Remaja itu dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Khamis lepas dan berusaha berenang ke arah sebuah bangunan berbumbung biru sebelum tersangkut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan tersebut.  

“Sepanjang dua hari tersangkut, mangsa memaklumkan dia berusaha melambai ke arah orang awam untuk meminta pertolongan tetapi tidak disedari oleh sesiapa hinggalah seorang pegawai bomba pelabuhan ternampak lambaiannya dan diselamatkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata berdasarkan temu bual awal, remaja itu dipercayai mengalami tekanan kerana kecewa apabila dua kali gagal dalam ujian memandu dan takut dimarahi keluarganya.

Faris Izwan berkata remaja perempuan itu ditemukan dalam keadaan lemah tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada 11.23 pagi, Khamis lepas.

Mangsa meninggalkan motosikal milik ibu saudaranya di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang di sini, dari arah Perai menghala ke pulau.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan