KUANTAN, 27 Dis (Bernama) -- Dua individu yang terkorban selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah treler di KM 18 Jalan Pekan-Nenasi, Pekan semalam merupakan penuntut di sebuah kolej di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata individu yang maut merupakan pemandu kereta Perodua Kancil, Muhammad Shafiq Haikal Mohd Najib, 18, yang beralamat di Kampung Batu 5 Jalan Pekan Nenasi dan rakannya Muhammad Hanif Ikwan Md Kamizi, 18, beralamat di Taman Peramu Jaya, Pekan.
"Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dari arah Rompin menghala Pekan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar bahagian depan treler terbabit yang berada di laluan bertentangan, sehingga mengakibatkan kereta dinaiki mangsa terputus dua dan terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Akibat kemalangan itu, beliau berkata Muhammad Shafiq Haikal telah tercampak keluar dari kereta itu dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Hanif Ikwan terbakar sepenuhnya.
Bagaimanapun, pemandu treler berusia 42 tahun tidak mengalamai sebarang kecederaan.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, media melaporkan dua individu maut temasuk seorang rentung selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian sekitar 8 malam itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial