BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
Selepas lebih 20 tahun ‘memerah keringat’ di laut buat menyara kehidupan keluarga, Hashim Dahlan, 54, kini ‘membanting tulang’ di darat untuk kesinambungan hidup.
Benarlah pepatah 'Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang', langkah berani anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan ini kini mampu membuatkan dia memperoleh pendapatan berganda mencecah ribuan ringgit.
Berkongsi detik permulaan melibatkan diri dalam bidang tanaman lada bara, Hashim yang menjadi nelayan pantai sejak berusia 30 tahun berkata, pendapatan yang tidak menentu sebagai nelayan membuatkan dia bertekad untuk mencari pekerjaan lain walaupun pada usia separuh abad.
pic-2
“Selepas beberapa bulan memulakan tanaman cili ini, saya menyertai kursus dua hari anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Labuan tentang penanaman lada bara. Kursus ini diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.
“Memanfaatkan tanah di depan rumah seluas 0.12 hektar, saya berjaya menanam 300 pokok lada secara fertigasi pada awal 2021,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Lada, Labuan, ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.’
Di samping kursus secara percuma, LPP juga memberi Hashim modal sebanyak RM20,000 termasuk untuk digunakan membeli peralatan serta polibeg, sementara untuk benih cili, dia mendapatkannya daripada vendor Shopee.
NASIHAT DAN BIMBINGAN LPP
Sedar ilmu pertanian yang ada tidak sedalam mana, Hashim sentiasa mendapatkan nasihat dan bimbingan LPP termasuk tentang cara menjaga tanaman cili agar tidak diserang serangga perosak dan penyakit.
"Selain daripada halangan akibat serangga perosak, saya juga agak kekok semasa mula-mula cuba untuk menguruskan tanaman lada bara ini.
“Namun berkat tunjuk ajar serta sokongan berterusan yang diberikan oleh pihak LPP serta menghadiri kursus berkaitan, syukur alhamdulilah, akhirnya dalam tempoh enam bulan saya semakin mahir mengusahakan tanaman lada bara ini," katanya.
Hashim turut berkongsi antara serangga yang boleh menyerang tanaman cili iaitu serangga kutu apit, lalat buah dan hama.
pic-4
Selain bantuan kewangan LPP, dia turut menerima bantuan sebanyak RM8,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kemudian menambah jumlah tanaman cili itu secara berperingkat, sehingga menjadi 1,000 polibeg.
“Saya boleh tuai hasil cili dalam tempoh kira-kira tiga bulan setengah selepas biji benih disemai,” katanya yang turut dibantu isterinya, Lasha Jepang @Apang, 48.
Pasangan yang mempunyai tiga orang cahaya mata ini, masing-masing berumur antara 17 tahun hingga 25 tahun ini turut mendapat bantuan daripada anak-anak mereka ketika masa lapang masing-masing.
Setakat ini tanaman cili itu berjaya mengeluarkan hasil kira-kira 100 kilogram setiap bulan yang dijual sendiri kepada peniaga di pasar dan kedai runcit di sekitar Labuan.
“Saya turut menjual dalam bentuk bungkusan paket kecil seberat 28 gram dengan harga RM2 manakala sekilogram cili dijual antara RM35 hingga RM40," katanya.
HASILKAN PRODUK SAMBAL
Selain dijual segar, isteri Hashim memproses lebihan cili tuntuk menghasilkan pelbagai jenis sambal iaitu cili padi kisar pure, sambal ikan masin petai serta pelbagai lagi produk yang kini mendapat permintaan menggalakkan dan dipasarkan di sekitar daerah Labuan.
"Setakat ini produk berkenaan mendapat permintaan tinggi. Keistimewaan sambal ini sudah tentu diperbuat daripada lada yang segar serta rasanya yang enak dan tahan lama," katanya menambah sebotol sambal dijual antara RM12 hingga RM20 mengikut jenis sambal.
pic-3
Melihat pada sambutan yang diterima, Hashim berhasrat memasarkan cili segar serta sambalnya di luar Labuan pada masa akan datang.
“Itu tanaman musim pertama, sekarang saya tengah usahakan tanaman untuk musim kedua sebanyak 400 polibeg,” katanya.
Selain itu, dia juga merancang meluaskan tanaman kepada cendawan selepas melihat potensi tanaman tersebut.
"Ketika ini kami baru membuat rumah hijau cendawan namun beberapa peralatan serta bongkah untuk menanam cendawan belum disediakan.
“Insya-Allah saya akan mulakan penanaman cendawan dalam waktu terdekat selepas lawatan ke Selangor tidak lama lagi,” katanya yang masih meneliti jenis cendawan yang akan ditanam.
ILTIZAM
Menurut Hashim, setiap lapangan pekerjaan yang diceburi memiliki cabaran dan kepuasan tersendiri.
Bagi dirinya yang menjadi nelayan bertahun-tahun lamanya, tidak semua kejayaan datang bergolek, jika tidak diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Buat masa ini dia belum meninggalkan sepenuhnya pekerjaan sebagai nelayan, namun cuaca yang tidak menentu dia akan ke laut apabila keadaan mengizinkan.
Disebabkan faktor berkenaan, dia kini lebih banyak memberikan perhatian kepada tanaman lada bara.
"Jika berbicara tentang soal kepuasan sudah tentu menerusi bertani kita nampak hasilnya dan kualiti dapat dilihat di depan mata. Ia berbeza dengan dengan pelaut yang mencari rezeki di laut bergelora yang kita sendiri tidak tahu apakah yang akan kita perolehi pada hari itu," katanya.
Menitipkan nasihat untuk mereka yang berhadapan dengan masalah kerja, antaranya perlu berfikiran positif dan berani mencuba sesuatu yang baharu.
“Apa yang perlu diberi keutamaan terhadap lapangan baharu yang ingin dterokai adalah ilmu pengetahuan berhubung bidang yang ingin dipelopori seseorang itu, ” katanya menambah, dia amat berterima kasih di atas segala bantuan yang dihulurkan LPP dan MAIWP dalam sama-sama menjayakan penanaman cili bara ini.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial