GUA MUSANG, 9 Jan (Bernama) -- Penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam bakal menikmati kemudahan Internet secara percuma dalam masa terdekat, selepas masalah ketiadaan liputan telekomunikasi di penempatan itu dikenal pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata menara komunikasi akan dibina di kampung berkenaan menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa kedua.
Beliau berkata inisiatif itu membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan komited membantu rakyat mendapatkan kemudahan asas meskipun berada di kawasan pedalaman.
“Saya berterima kasih kepada pihak MCMC atas respons positif yang ditunjukkan setelah kira-kira dua minggu lepas kita menyuarakan aduan penduduk mengenai kesukaran berhubung ekoran ketiadaan liputan telekomunikasi di kampung ini.
“Selaku Ahli Parlimen, saya berbesar hati apabila rakyat menerima bantuan dalam kadar segera dan amat cepat daripada kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah ini, malah turut memasukkan kampung ini dalam senarai perancangan pelaksanaan JENDELA fasa kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Bayu Dalam bersama pihak MCMC Kelantan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah MCMC Kelantan Hairudin Mohd Zin berkata projek JENDELA fasa pertama telah dilakukan di 54 kawasan, justeru penilaian akan dibuat untuk memasukkan Kampung Sungai Bayu Dalam bagi projek fasa kedua.
“Kita sudah bertemu pengadu dan mendapati liputan di sini agak teruk. MCMC telah pun melepasi proses mengenal pasti kawasan yang terlibat, seterusnya mungkin dalam tindakan untuk dapatkan kelulusan.
“Cadangan perancangan untuk pelaksanaan di bawah JENDELA fasa dua insya-Allah dibuat secepat mungkin,” katanya.
Bagi penduduk kampung Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, dia bersyukur akhirnya masalah perhubungan telekomunikasi yang dihadapi sejak 10 tahun lepas mendapat perhatian pihak yang sewajarnya.
“Hampir 50 penduduk di sini terpaksa keluar kira-kira tiga kilometer melalui jalan ladang berbatu ke jalan raya semata-mata untuk mendapatkan rangkaian telefon dan akses kepada Internet.
“Kami berharap projek ini berjalan dalam masa terdekat kerana masalah perhubungan menyukarkan kami melaporkan kes ancaman haiwan liar di kampung ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial