FOKUS BERNAMA

Projek Tanam Cendawan Tiram Sutera PDK, Peluang Kerja Untuk OKU

10/01/2024 11:42 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Meskipun tergolong dalam golongan individu berkeperluan khas yang tidak boleh menulis dan membaca, namun jika diberi peluang, mereka ini mampu bekerja seperti individu normal, malah mungkin lebih baik.

Langkah inilah yang diambil oleh Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kasih Templer Autisma untuk memperkasakan golongan berkenaan dengan memberi peluang kepada pelatih istimewanya turut mengusahakan projek penanaman cendawan tiram sutera di pusat PDK.

Pertubuhan ini yang beroperasi di Batu Caves, Selangor, komited memainkan peranannya dalam membangunkan potensi Orang Kurang Upaya (OKU) apabila pelatih pusat itu menunjukkan kemahiran dalam penanaman cendawan yang diusahakan PDK berkenaan sejak lima tahun lalu.

Projek yang dimulakan pada tahun 2018 itu adalah langkah penglibatan PDK dalam bidang perniagaan yang disifatkan berdaya maju yang mampu menjana sumber pendapatan.

Menurut penyelia pusat PDK Faziah Ahmad, ia juga selari dengan dasar kerajaan menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi yang mahu memasyarakatkan golongan berkeperluan khas atau OKU ini dengan meningkatkan kebolehan, keupayaan, kemampuan serta kemahiran masing-masing.

“Apabila kita mulakan projek penanaman cendawan ini, secara tidak langsung, ia menyediakan peluang pekerjaan kepada pelatih OKU remaja dan belia di PDK ini yang tidak mampu bersaing di luar kerana ada pelatih ini tidak mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran serta orang di sekeliling mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabat PDK baru-baru ini.

 

SALING FAHAM-MEMAHAMI

Lazimnya ada tanggapan bahawa pelatih yang tidak mampu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, secara tidak langsung akan dilihat sebagai beban kepada agensi atau syarikat yang mengambil mereka bekerja.

Bagaimanapun, Faziah berkata, apabila PDK menyediakan peluang pekerjaan kepada pelatih OKU, ia dilihat lebih mudah kerana wujud hubungan saling memahami antara pelatih dengan petugas PDK.

“Waktu permulaan PDK ini ditubuhkan pada 1 Jan 2009, sekitar 50 orang pelatih kita adalah kanak-kanak dan remaja autisme. Mereka ini diambil secara berperingkat-peringkat. Kemudian pada tahun 2019, pusat ini membuka ruang kepada anak-anak OKU lain termasuk sindrom Down dan palsi serebrum yang masih boleh bergerak

“Ketika ini di PDK, 80 peratus daripada 68 orang pelatih adalah golongan autisme dengan masalah pembelajaran, Mereka ini berusia antara 4 tahun hingga 34 tahun. Mereka datang ke pusat ini dua kali seminggu untuk menjalani terapi,” katanya, menambah terdapat lima tenaga kerja di PDK itu.

pic-2

Menurut Faziah, lima pelatih yang berusia 24 hingga 32 tahun diberi kepercayaan untuk terlibat dalam projek cendawan ini dan mereka biasanya datang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.

Meskipun lima pelatih berkenaan tidak boleh membaca dan menulis, mereka boleh mendengar arahan dan melakukan tugasan yang diberi dengan baik.

“Apabila diberi tanggungjawab mengusahakan penanaman cendawan ini, kita boleh lihat komitmen mereka menjadikannya sebagai rutin harian, bermula daripada proses menyiram cendawan hingga kepada proses memetik dan kemudian membungkus cendawan untuk dipasarkan,” katanya.

Beliau menambah, dengan memberi pendedahan kepada projek penanaman cendawan, secara tidak langsung pelatih turut didedahkan kepada bidang pra-vokasional menerusi bidang pertanian selain mengajar pelatih untuk lebih berdikari.

 

PROJEK CENDAWAN

Mengulas lanjut projek cendawan tiram sutera PDK, Faziah berkata, terdapat sekitar 2,000 bongkah yang ditempatkan di ‘rumah’ cendawan iaitu sebuah bangsal beratap zink yang dipasang jaring hitam pelindung daripada pancaran matahari, terletak di laman premis.

Penulis yang dibawa melihat rumah cendawan itu mendapati bongkah yang digunakan diperbuat daripada serbuk kayu, disusun dan digantung setinggi kira-kira dua meter dari aras lantai.

Setiap bongkah mengandungi benih cendawan yang diperolehi daripada seorang pengusaha cendawan ini di Sabak Bernam, Selangor. Pengusaha berkenaan turut mengajar petugas atau guru PDK tentang proses penanaman serta penjagaan cendawan ini.

“Sebelum ini juga kita pernah cuba beberapa medium penanaman termasuk menggunakan sisa kelapa sawit dan jerami padi tetapi agak sukar sebab bongkah yang menggunakan sisa tanaman ini agak berat jadi menyukarkan pelatih OKU kita untuk susun dan gantung.

pic-3

“Selain itu jangka hayat bongkah sisa kayu ini lebih lama iaitu antara tiga hingga empat bulan. Kaedah menggantung bongkah ini juga dapat menghasilkan lebih banyak cendawan daripada setiap bongkah ini,” katanya menambah, secara purata, mereka mengutip kira-kira 80 kg cendawan setiap hari.

Faziah berkata, cendawan biasanya sedia untuk dituai dalam tempoh tiga ke empat hari selepas disemai dan mudah dijaga serta cepat berputik sekiranya hujan turun berterusan kerana keadaan suhu yang lebih sejuk dan persekitaran lembap.

“Jika cuaca panas, siram air dua atau tiga kali sehari pun sudah memadai. Selepas itu cendawan mula berputik dan sedia untuk dipetik bila kelopak cendawan matang. Setiap bongkah akan ditukar antara tiga ke empat bulan,” katanya.

Bercakap tentang cendawan tiram sutera, beliau berkata, ia mempunyai kelebihan dan khasiat tersendiri termasuk kaya dengan vitamin D dan dapat memperbaiki imun badan seseorang.

“Cendawan ini lebih putih dan bersaiz besar berbanding cendawan tiram lain. Ia sangat sesuai untuk masakan seperti cendawan goreng, sup cendawan, popia dan pau cendawan, kerana rasanya yang lebih pejal berbanding cendawan tiram kelabu yang banyak di pasaran,’’ tambah Faziah.

 

SOKONGAN KOMUNITI

Pada peringkat awal mengusahakan penanaman cendawan itu, PDK hanya mendapat sokongan daripada penduduk setempat serta ibu bapa pelatih yang sentiasa membeli cendawan berkenaan.

Cendawan yang dipetik ketika itu dibungkus dalam peket kecil seberat 250 gram dan dijual dengan harga sekitar RM5 sepeket.

Namun, hasil promosi mulut ke mulut, produk cendawan PDK mula mendapat tempat daripada beberapa pihak termasuk peniaga dan kakitangan kompleks kerajaan sekitar Batu Caves dan Gombak.

‘’Mula-mula memang kita iklan mulut kepada penduduk sekitar selain kita pasang sepanduk di sini. Kemudian kita iklan pula dalam laman sosial Facebook, dan selepas itu kita buat promosi kepada staf kerajaan termasuk PBT, pejabat tanah serta peniaga sekitar.

pic-4

‘’Alhamdulillah sehingga ke hari ini kita mempunyai pelanggan tetap yang kebanyakan staf kerajaan sendiri yang bekerja di kompleks kerajaan di sini. Kita bungkus cendawan mengikut tempahan pelanggan seperti 1 kg atau 6 kg, atau peket seberat 250 gram yang sekarang ini kita jual pada harga RM7 untuk setiap peket,’’ katanya.

Beliau berkata, keuntungan daripada jualan cendawan itu digunakan oleh PDK untuk menjalankan pelbagai aktiviti sosial bersama pelatih di situ.

‘’Dengan hasil jualan cendawan itu, kita mempelbagaikan aktiviti bersama pelatih termasuk mengajar mereka bagaimana menaiki pengangkutan awam termasuk bas selain menghantar juga mereka ke pusat terapi termasuk terapi berkuda di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menurut Faziah, lima pelatih yang bekerja di rumah cendawan itu diberikan elaun sebanyak RM400 sebulan dan jika ada keuntungan berlebihan, mereka diberi ganjaran pada hujung tahun seperti hadiah atau bonus. 

 

TERUJA  

Penulis turut berpeluang menemu bual seorang pelatih, Muhammad Sufian Abd Ghani atau mesra di sapa Abu yang teruja apabila dapat membantu guru mengusahakan projek cendawan berkenaan.

Abu, 32, berkata menguruskan penanaman cendawan itu menjadi rutin dan aktiviti hariannya, dan dia komited melakukannya.

‘’Saya akan bergilir dengan kawan-kawan untuk siram, petik dan bungkus cendawan itu sebelum dijual. Setiap hari juga saya akan minta dan ingatkan pelatih yang bertugas supaya tidak lupa untuk siram cendawan sebab tidak mahu cendawan rosak dan mati,’’ katanya.

Malah katanya, dia datang ke PDk hampir setiap hari termasuk pada hujung minggu sekalipun Sabtu dan Ahad adalah hari cuti rehat.

pic-5

‘’Saya akan pastikan setiap hari pada pukul 7.30 pagi, kesemua cendawan ini akan disiram begitu juga pada waktu petang. Saya seronok melakukan kerja ini,’’ katanya yang turut mendapatkan jolokan sebagai mandur oleh rakan pelatih lain. 

Abu yang tinggal tidak jauh dari PDK itu datang mengayuh basikal yang dihadiahkan oleh PDK tersebut. Malah PDK juga mengangkat insan istimewa ini sebagai “Pelatih Contoh”.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan