JENAYAH & MAHKAMAH

Tukar Agama Anak Secara Unilateral Salah Di Sisi Undang-undang, Mahkamah Benarkan Rayuan Loh

10/01/2024 04:27 PM

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan mengetepikan penukaran agama secara unilateral tiga anak Loh Siew Hong kepada Islam, selepas memutuskan penukaran agama secara unilateral oleh bekas suaminya adalah menyalahi undang-undang.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata berhubung isu penukaran agama secara unilateral, mahkamah terikat dengan keputusan kes Indira Gandhi yang menetapkan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum kanak-kanak di bawah umur ditukar agama.

“Oleh itu, kami membenarkan rayuan oleh pemohon (Loh) dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Hakim Hadhariah turut membenarkan beberapa pelepasan bagi ibu tunggal itu, antara lain yang mengisytiharkan tiga anaknya beragama Hindu.

Pada 11 Mei lepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral oleh bekas suaminya, selepas memutuskan bahawa tiada bukti yang menunjukkan ketiga-tiga anaknya berhenti menganut agama Islam semasa berada di bawah jagaan ibu mereka.

Hakim Hadhariah dalam penghakiman ringkasnya berkata Mahkamah Tinggi tidak menangani dua isu berkaitan dalam prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Loh.

Beliau berkata kedua-dua isu ini ialah sama ada penukaran agama secara unilateral adalah sah, dan sama ada Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Islam Perlis (Pindaan) 2006 adalah tidak mengikut perlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Kegagalan hakim Mahkamah Tinggi menjawab kedua-dua isu ini adalah salah haluan jelas yang menyamai kesilapan undang-undang," kata hakim itu.

Mengenai isu penukaran agama secara unilateral, Hakim Hadhariah berkata mahkamah terikat dengan keputusan dalam kes Indira Gandhi yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum anak-anak di bawah umur boleh ditukar kepada agama lain.

"Dalam kes ini, tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa perayu (Loh) tidak memberikan kebenaran untuk ketiga-tiga kanak-kanak itu memeluk agama Islam," tambahnya.

Loh, 36, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022 dan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.

Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam, bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya, dan juga kad lain mengenai pemelukan agama Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak lain, dan juga menghalang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kad berkenaan.

Tiga kanak-kanak itu, kembar perempuan berusia 16 tahun dan lelaki berusia 13 tahun yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudiannya diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Loh diwakili oleh peguam A. Srimurugan dan J. Gunamalar manakala MAIPs diwakili oleh peguam Haniff Khatri Abdulla, manakala penasihat undang-undang Perlis Mohd Radhi Abas bagi pihak Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mohd Asri dan kerajaan negeri Perlis.

Sementara itu Mohamed Haniff Khatri memberitahu pemberita bahawa beliau diarahkan untuk menfail rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan