AM

Jpj Sita 20 Motosikal Ditunggang Warga Asing

10/01/2024 02:59 PM

BUKIT MERTAJAM,10 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 20 motosikal yang ditunggang warga asing dalam Ops Khas Motosikal dan Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di persimpangan Jalan Bayu Mutiara, Bukit Minyak di sini, semalam.

Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang Shahrul Azhar Mat Dali berkata antara kesalahan yang dikesan dalam dua operasi itu ialah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh serta tiada insurans selain kesalahan teknikal lain antaranya tiada cermin sisi dan mengubah suai motosikal tanpa kebenaran.

Beliau berkata semakan mendapati 14 daripada 20 motosikal yang disita adalah milik warga tempatan, yang memberi kebenaran kepada warga asing untuk menunggangnya.

"Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan semua motosikal itu dibawa ke JPJ untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehubungan itu Shahrul menasihati pemilik motosikal supaya mematuhi peraturan, dan tidak sewenang-wenangnya memberi kebenaran kepada kepada orang lain terutama warga asing untuk membawa kenderaan mereka kerana ia hanya akan mengundang lebih banyak masalah terutama jika berlaku kemalangan.

"Kita tidak akan berkompromi dan sekiranya dapat kesan ada warga asing bawa motosikal atau kenderaan lain di atas jalan raya dan tidak patuh kepada peraturan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Katanya 26 anggota penguat kuasa menyertai operasi dua hari itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan