Memegang kepada peribahasa "Hati hendak, semua jadi", Megat Azim Jamil, 42, berjaya membuktikan bahawa kejayaan itu bukan mustahil untuk digenggam jika seseorang itu bertekad dan berusaha gigih.
Bermula dengan menjual susu segar pada tahun 2012 yang diperolehi daripada seekor lembu tenusu, beliau kini mempunyai lebih 20 ekor lembu baka Australian Jersey Friesian yang dibela di ladang seluas kira-kira 1.2 hektar di Semenyih, Selangor.
"Jika diimbau kembali, saya sendiri tidak sangka akan berjaya hingga ke tahap ini. Dengan berbekalkan modal awal RM7,000 untuk membeli Jasmin, iaitu lembu pertama saya, saya mula berniaga susu segar berperisa dalam botol dengan bantuan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) di sekitar Selangor.
"Dari perniagaan susu segar inilah juga saya mula nampak sebenarnya orang ramai juga cukup meminati produk aiskrim daripada lembu tenusu. Jadi saya lihat adanya potensi besar dan akhirnya saya bertekad untuk menubuhkan MUULK Holdings Sdn Bhd dan MUULK Artisan Dairy dan saya pemilik tunggal.
"MUULK itu adalah singkatan daripada MUU (bunyi lembu) dan MILK, " katanya kepada Bernama ketika ditemu bual baru-baru ini dan menambah pada mulanya beliau ingin mendaftar nama MOOLK, namun nama itu sudah didaftar terlebih dahulu di Australia.
pic-2
Beliau yang mempunyai ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dari Universiti Petronas Malaysia mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan semasa di universiti lagi iaitu mendapat kontrak kecil antaranya membuat reka bentuk serta pemasangan rangkaian wifi di beberapa cawangan UiTM.
"Habis universiti saya tubuh dan daftar perniagaan. Keluarga saya menghalang kerana tiada siapa dalam keluarga yang terlibat dalam bidang itu. Semua bekerja swasta dan kerajaan. Saya perhatikan orang yang berniaga banyak boleh membuat perubahan pada komuniti sekeliling. Itu yang menjadi dorongan saya, " kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang kini. Beliau kini mempunyai lima orang pekerja tempatan bagi membantu perniagaannya.
PENGELUARAN AISKRIM MUULK
Mengenai penghasilan aiskrim MUULK, Megat Azim berkata, aiskrim artisan premium itu mula dipasarkan oleh MUULK Artisan Dairy pada tahun 2019 dan menurut beliau, ia semakin mendapat perhatian penggemar pemanis mulut di sekitar Lembah Klang khususnya, kerana mengetengahkan keenakan rasa susu segar tempatan.
Lebih menarik lagi, produk aiskrim MUULK bukan sahaja boleh dibeli menerusi platform dalam talian, malah turut dijual di dalam peti sejuk beku khas yang ditempatkan di 14 tempat tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga di sekitar Lembah Klang.
Antara lokasi peti sejuk beku khas MUULK termasuk di Taman Tugu Forest Trail, G2G Animal Garden dan Saville Agri Wonderland iaitu di sekitar Lembah Klang. Ia juga dipasarkan di Nilai, Negeri Sembilan serta Kuala Terengganu, Terengganu.
Bercerita lebih lanjut mengenai produk aiskrim yang dihasilkan, Megat Azim berkata, beliau banyak belajar daripada ramai kenalan chef dan pengusaha aiskrim yang lain.
pic-3
DVS juga banyak membantunya menuntut ilmu pembuatan aiskrim dengan pakar produk tenusu di seluruh pelosok negara.
Berbekalkan ilmu yang ada, beliau melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk sendiri sehingga berjaya menghasilkan tujuh perisa aiskrim. Antara produk aiskrim terlaris dan sering menjadi tumpuan pembeli ialah Callebaut Belgian Chocolate, Starbucks Dark Roast, Oreos & Cream, serta Butter Pecan.
“Sekarang saya dalam proses menambah perisa baharu kerana ada perisa sedia ada turut terkena tempias boikot susulan konflik Palestin-Israel,” tambahnya.
Dijual pada harga berpatutan iaitu RM8 bagi cawan bersaiz 100 ml dan RM29 untuk cawan bersaiz 473 ml, kini, secara purata MUULK menjual antara 10,000 dan 20,000 kotak aiskrim setiap bulan.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan sehinggakan beliau bukan sahaja dapat meraih semula modal awal RM100,000 pada tahun pertama operasi perniagaan aiskrim, tetapi juga mencatat pulangan daripada pelaburan itu.
“Proses pembuatan aiskrim yang berkualiti mestilah bermula dengan sistem pengurusan ladang dan ternakan yang baik. Ternakan yang sihat menghasilkan susu berkualiti yang diolah di pusat pemprosesan susu MUULK di Desa Subang Permai, Selangor.
“Susu segar akan dipastur dahulu pada suhu 63 darjah Celcius mengikut standard Akta Makanan Malaysia dan Dunia. Kemudian lemak susu diasingkan dengan menggunakan mesin pemisah susu. Lemak yang diasingkan inilah menjadi asas produk aiskrim yang lazat. Aiskrim tidak mengandungi sebarang pewarna, pengawet atau perisa yang tidak asli. Inilah yang membezakan aiskrim premium kami dengan syarikat aiskrim yang lain,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini kilang aiskrim beliau menghasilkan kira-kira 500 cawan aiskrim setiap minggu.
TIDAK PERNAH PUTUS ASA
Hakikatnya, bidang yang diceburi oleh Megat Azim ini jauh berbeza dengan bidang pengajian ICTnya.
"Ahli keluarga saya pada asalnya memang agak menentang keputusan saya ini kerana memikirkan banyak risiko untuk menjadi usahawan, dan mereka mahu saya saya bekerja dalam bidang ICT.
"Namun takdir menentukan dan kini saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya sentiasa berusaha tingkatkan ilmu dan kaedah terbaik terhadap penjagaan haiwan ternakan lebih-lebih lagi lembu tenusu memandangkan ianya haiwan yang cukup sensitif dengan sebarang perubahan persekitaran," katanya.
pic-4
Beliau menambah, bukan mudah untuk menjaga ternakan lembu kerana ia memerlukan komitmen yang cukup tinggi terutama demi memastikan kesihatan haiwan berkenaan terjamin daripada sebarang jangkitan penyakit.
Megat Azim berkongsi bahawa beliau pernah kerugian puluhan ribu ringgit akibat tujuh ekor lembunya mati diserang penyakit berjangkit dalam tempoh tahun 2012 hingga tahun 2015.
Rutin hariannya bermula sebelum subuh, iaitu membangunkan lembu dari tidur bagi memastikan semua lembu sihat dan cergas, sebelum kesemuanya dimandikan.
Semua lembu juga akan diberikan makanan tambahan bernutrisi dan palet vitamin terlebih dahulu sebelum dimasukkan mengikut giliran ke tempat pemerahan susu khas, dan seterusnya baru diberi makan rumput dan jerami padi sementara pekerja yang lain akan membersihkan kembali tempat berehat lembu dari sebarang tinja bagi memberi keselesaan kepada mereka.
Menurut beliau, sekiranya lembu berada dalam keadaan sihat, barulah ianya boleh menghasilkan susu segar yang baik dan berkualiti tinggi. Susu lembu diperah menggunakan mesin perahan khas dan membolehkan produk aiskrim yang diproses nanti juga terjamin kelazatannya.
"Jika di Australia, seekor lembu boleh hasilkan sekitar 50 liter susu sehari, namun disebabkan cuaca dan keluasan lahan (petak yang menempatkan setiap ekor lembu) yang agak berbeza di sini, maka kita hanya mampu perah sekitar 20 liter sahaja. Oleh itu amatlah penting untuk kita jaga kualiti pemakanan mereka.
"Bukan itu sahaja, kita juga perlu menjadi bidan dan menyambut kelahiran anak-anak lembu ini sendiri. Pengalaman unik sebeginilah yang mematangkan saya untuk terus menjadi salah seorang usahawan lembu tenusu yang boleh dibanggakan," kongsinya
Bagi memastikan kualiti susu terjaga, beliau membiakkan sendiri lembunya melalui kaedah permanian beradas agar baka dapat dikekalkan, sekali gus menjamin kualiti susu.
PERANCANGAN MASA DEPAN
Bercakap tentang perancangan masa depan perniagaannya, Megat Azim merancang untuk mewujudkan sebuah ladang ternakan berintegrasi di Puncak Alam, Selangor pada tahun ini (2024).
Jelasnya, ladang tersebut akan berkonsepkan ladang integrasi dengan memfokuskan pada aspek botani dan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan ayam selain tanaman sayur-sayuran.
Selain itu, beliau juga merancang membangunkan loji memproses tinja haiwan untuk dijadikan baja tanaman bagi menjimatkan kos operasi di situ.
"Kita juga merancang membina sebuah kilang memproses susu dan aiskrim seluas kira-kira 185 meter persegi yang mana produk boleh terus dibeli dan dinikmati pengunjung di situ. Apa yang kita inginkan adalah supaya ladang integrasi ini boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan industri agropelancongan negara serta menarik pelancong dalam dan luar negara.
pic-5
"Sekiranya kita berjaya laksanakan projek ini, saya bercadang untuk meningkatkan lagi kemahiran usahawan dan penternak lembu pedaging untuk sama-sama sertai industri ternakan lembu tenusu. Kita harap setiap negeri mampu wujudkan pengeluar susu dan aiskrim sendiri, sebab terlalu besar nilai pasaran tenusu dalam negara yang kita belum diterokai," jelasnya, yang menyasarkan untuk menembusi pasaran luar negara dalam tempoh tiga tahun lagi.
Beliau turut menekankan projek ladang integrasi ini akan mengambil kira setiap prosedur operasi standard yang telah ditetapkan pihak DVS, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Buat masa kini informasi pasaran MUULK boleh di dapati di www.muulk.com.my dan boleh dihubungi di sales@muulk.com.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial