AM

Karnival ProtÉgÉ@kuskop Beri Peluang Siswazah Ceburi Bidang Keusahawanan

11/01/2024 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan Karnival PROTÉGÉ@KUSKOP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu dan Ahad ini.

Menurut KUSKOP, penganjuran karnival bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang itu bagi mempromosi program keusahawanan dan kebolehpasaran serta platform untuk siswazah dan mahasiswa mendapatkan maklumat berkaitan program anjuran PROTÉGÉ dan agensi KUSKOP menerusi taklimat dan pameran, sekali gus menjadi permulaan bagi program PROTÉGÉ yang dirancang tahun ini. 

PROTÉGÉ atau Professional Training And Education For Growing Entrepreneurs merupakan unit di bawah kementerian itu yang diberi mandat menganjurkan program bagi meningkatkan potensi kebolehpasaran dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan lepasan universiti dan mahasiswa.

“Karnival ini menyediakan 63 reruai yang akan disertai oleh syarikat swasta terpilih, rakan strategik dan juga usahawan.

“Selain itu, ia juga dilaksanakan dengan kolaborasi strategik bersama kementerian dan agensi lain seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” menurut KUSKOP dalam kenyataan hari ini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan buat pengunjung antaranya latihan keusahawanan percuma menerusi seminar keusahawanan, sesi taklimat mengenai pembiayaan, pocket talk dan perkongsian pengalaman bersama alumni dan usahawan PROTÉGÉ serta sesi temu duga terbuka bersama 33 syarikat terpilih. 

Turut diadakan sesi padanan perniagaan, khidmat nasihat pembiayaan, pameran kementerian dan agensi, Jualan Usahawan Graduan, Jualan MADANI, Food Truck MADANI. 

Selain itu pendaftaran ahli Rakan Muda yang menawarkan baucar percuma daripada Shopee, Food Panda, Lazada dan Grab Food, insentif bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) iaitu diskaun 10 hingga 15 peratus bagi baki hutang dan aktiviti E-Sport (DOTA2, Efootball, Tekken dan GT Racing). 

“Sembang PROTÉGÉ X KRU juga akan dilancarkan yang merupakan program bual bicara secara dalam talian bersama 12 usahawan muda dan seorang panel bisnes berkaliber tentang elemen dan teras penting dalam membangunkan sesebuah perniagaan khususnya kepada siswazah,” katanya.

Menurut KUSKOP, kemasukan ke karnival itu adalah percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan keutamaan dan kumpulan sasar utama adalah lepasan universiti dan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kenyataan itu memaklumkan orang ramai juga berpeluang memenangi cabutan bertuah dan sebarang info terkini boleh didapati menerusi laman sosial rasmi KUSKOP iaitu di Facebook, Instagram, X, Tiktok dan YouTube.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan