PENAMPANG, 11 Jan (Bernama) -- Tamu yang terdapat di seluruh Sabah wajar dijadikan lokasi untuk pendaftaran dan menyebar luas maklumat mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) terutama dalam kalangan warga emas serta penduduk di kawasan pedalaman di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayan Jannie Lasimbang berkata ini kerana Tamu, pasar tradisi masyarakat setempat berjual beli barangan mereka di negeri ini, adalah lokasi tumpuan penduduk sejak dahulu antaranya bagi mendapatkan barangan keperluan harian.
Beliau berkata warga emas dan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman sukar mendaftar secara dalam talian, maka menjadikan Tamu sebagai lokasi pendaftaran merupakan langkah bijak bagi mengatasi masalah itu.
“Warga emas selalu pergi ke Tamu bukan sahaja untuk beli barang keperluan, tetapi juga untuk minum-minum serta bertemu rakan mereka. Tamu ini menjadi sebahagian daripada hidup kita di Sabah ini, jadi bila ada daftar PADU di Tamu mudah untuk kita bantu warga emas ini mendaftar.
“Mungkin juga mereka tidak tahu mengisi pendaftaran, Internet pun di pedalaman tidak berapa bagus jadi di Tamu ini mudahkan mereka daftar terus dan dapatkan bantuan untuk mendaftar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau bersama Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Supian Musa serta petugas Jabatan Perangkaan dan Jabatan Penerangan melakukan hebahan serta pendaftaran PADU di Tamu Donggongon di sini yang menarik perhatian ramai penduduk setempat.
Suri rumah Everly Liundison, 71, berkata dia mengetahui tentang PADU menerusi televisyen, namun tidak memahami fungsi dan keperluan mendaftar hingga menemukan kaunter PADU di Tamu Donggongon.
“Ada tahu orang sibuk daftar PADU, tetapi ingatkan untuk orang muda sahaja. Memang saya selalu datang Tamu beli barang dapur. Jadi bila jumpa kaunter ini saya tanya lah, rupanya semua kena daftar supaya mudah kerajaan bagi bantuan, saya daftar lah senang sahaja,” katanya.
Pesara Muhd Shajire Raman, 67, berkata beliau pernah meminta bantuan anak-anaknya untuk mendaftar dalam PADU kerana tidak memahami proses pendaftaran, namun secara kebetulan menemukan kaunter PADU di Tamu Donggongon.
“Saya selalu ke sini 'kupi-kupi’ bersama-sama kawan, kebetulan jumpa kaunter PADU di sini terus saya minta bantuan... maklumlah mahu daftar, mata tidak berapa nampak skrin telefon. Terus mereka tolong saya daftar, jadi amat memudahkan saya,” katanya.
Peniaga buah-buahan Irawan Karia, 48, berkata dia pernah cuba mendaftar PADU secara dalam talian menggunakan telefon bimbit, bagaimanapun menghadapi kesukaran bagi menjawab soalan dikemukakan antaranya mengenai pendapatannya.
“Bila ada kaunter PADU di Tamu ini, saya jadi orang awal yang datang duduk dan tanya terus bagaimana mahu jawab soalan itu, kerana saya berniaga sendiri jadi saya tidak faham bagaimana mahu beritahu (mengisytihar) pendapatan saya itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial