EKONOMI

Nilai Jualan Sektor Pembuatan Susut 2.6 Peratus Pada November 2023

11/01/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan susut 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM155 bilion pada November 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu terutamanya disebabkan oleh penyusutan ketara subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 10.8 peratus (Oktober 2023 : -9.5 peratus) manakala subsektor peralatan elektrik dan elektronik 5.3 peratus (Oktober 2023: -2.7 peratus).

“Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan itu turun sebanyak 1.1 peratus berbanding RM156.7 bilion pada Oktober 2023 (-0.7 peratus),” katanya dalam kenyataan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia, November 2023, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi lebih dua pertiga daripada jumlah jualan, mencatat penurunan lebih besar sebanyak 6.9 peratus pada November 2023 berbanding negatif 5.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan itu dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis pada negatif 10.0 peratus, diikuti dengan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-6.6 peratus), pembuatan minyak serta lemak sayuran dan haiwan (-3.8 peratus)

Bagaimanapun, katanya, industri berorientasikan domestik terus mengekalkan momentum positif dengan mencatat 8.8 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 9.7 peratus).

Pengembangan itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam pembuatan produk makanan sebanyak 11.4 peratus; pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separa treler (11.3 peratus) dan pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (11.3 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport susut 3.6 peratus manakala industri berorientasikan domestik berkembang sebanyak 5.3 peratus,” katanya.

 

Gaji, upah meningkat 3.3 peratus 

 

Selain itu dari segi pekerja, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan melibatkan 2.38 juta orang pada November 2023, meningkat 2.1 peratus berbanding 2.33 juta orang bagi tempoh sama setahun lepas.

Kenaikan itu didorong terutamanya oleh peningkatan bilangan pekerja dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (6.9 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam direka (2.3 peratus) selain produk elektrik dan elektronik (0.7 peratus).

Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor pembuatan menurun sedikit sebanyak 0.04 peratus.

Mohd Uzir berkata seiring dengan pertambahan bilangan pekerja, jumlah gaji dan upah sektor pembuatan meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun yang mencecah RM8.1 bilion pada November 2023.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji dan upah yang dibayar mencatat pertumbuhan marginal 0.04 peratus berbanding 0.1 peratus pada Oktober 2023.

Beliau berkata nilai jualan dicatatkan bagi setiap pekerja pula susut 4.7 peratus pada RM65,193 manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja pada November 2023 adalah RM3,428 yang bertambah sebanyak 1.1 peratus tahun ke tahun. 

Merujuk prestasi bagi sebelas bulan pertama 2023, Mohd Uzir Mahidin berkata nilai jualan sektor pembuatan mencecah RM1.65 trilion iaitu pertumbuhan marginal 0.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2022 (Januari - November 2022: 16.6 peratus).

“Bagi tempoh itu, bilangan pekerja bertambah 2.1 peratus kepada 2.38 juta orang manakala gaji dan upah menokok 3.6 peratus pada RM89.0 bilion.

“Nilai jualan dicatat setiap pekerja menurun sebanyak 1.8 peratus yang berjumlah RM701,986,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan