AM

Derita Wira Apm Melecur Tahap Tiga Dapat Perhatian Premier Sarawak

11/01/2024 03:05 PM

KUCHING, 11 Jan (Bernama) -- Kisah meruntun jiwa Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah, 34, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menderita akibat kesan kebakaran tahap tiga dilaporkan Bernama baru-baru ini mendapat perhatian Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pemimpin utama Sarawak itu hari ini menghulurkan bantuan kewangan RM50,000 yang disampaikan Ketua Setiausaha Politiknya, Fazruddin Abdul Rahman bagi meringankan beban wira APM itu untuk menjalani proses pemulihannya.

“Dua hari lepas, Premier (Abang Johari) jumpa saya dan beliau arahkan saya untuk beri sumbangan peribadi beliau kepada saudara Mohammad Syafiq atas keberaniannya berusaha menyelamatkan mangsa kebakaran tanpa memikirkan keselamatan diri,” kata Fazruddin kepada pemberita selepas melawat Mohamad Syafiq di kediamannya.

Beliau berkata Abang Johari amat prihatin dengan keadaan yang menimpa keluarga Mohamad Syafiq memandangkan adiknya juga memerlukan bantuan perubatan secara berkala. 

Anggota sukarelawan APM itu kini menjalani proses pemulihan memeritkan setelah mengalami kesan kebakaran tahap tiga dengan 75 peratus badannya melecur ketika mahu menyelamatkan mangsa kebakaran pada 28 Ogos tahun lepas.

Sementara itu, ibu Mohammad Syafiq, Julia Jemat, 56, yang berterima kasih dengan sumbangan itu berkata beliau akan menggunakan bantuan berkenaan sebaik-baiknya untuk rawatan anaknya, khususnya bagi menjalani fisioterapi.

Selain bertungkus-lumus menguruskan rawatan Mohammad Syafiq, beliau yang merupakan seorang ibu tunggal juga perlu menanggung seorang lagi anaknya yang menghidap penyakit sawan. 

Menurut Julia, proses pemulihan anak keempat daripada enam beradik itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk sembuh sepenuhnya, dengan melibatkan kos ubat-ubatan serta makanan berjumlah kira-kira RM3,000 sebulan.

Sementara itu, Fazruddin menyeru orang ramai mendoakan kesembuhan Mohamad Syafiq dan kekuatan kepada keluarga itu dalam menghadapi ujian berat ketika ini. 

Beliau berkata masyarakat turut memainkan peranan untuk melaporkan mana-mana individu yang mengalami musibah serta memerlukan bantuan pada agensi dan jabatan kebajikan berkaitan bagi memudahkan urusan menyalurkan bantuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan