AM

Dr Mahathir Tidak Harus Persoal Kesetiaan Orang India, Cina Di Malaysia - Gobind

14/01/2024 04:21 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya mempersoalkan kesetiaan orang India dan Cina di Malaysia terhadap negara ini hanya kerana mereka bercakap dalam bahasa ibunda dan menganuti budaya dan adat mereka sendiri, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata ini kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan kaum dengan warganya terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya. 

“Amat malang bahawa walaupun telah menerajui negara ini selama bertahun-tahun, Dr Mahathir masih merasa wajar untuk membuat kenyataan yang bersifat memecahbelahkan terutamanya dalam hal kaum.

“Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf perkara ini dengan jelas bahawa kecuali sebagaimana yang dibenarkan secara nyata oleh perlembagaan itu sendiri, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara hanya atas alasan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang,” katanya.

Gobind berkata ia juga diterima umum bahawa ramai rakyat negara ini bercakap lebih daripada satu bahasa, kebanyakan mereka fasih dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda mereka sendiri yang termasuk antara lain, Cina, Tamil, Iban atau Kadazan.

“Ini tidak pernah menjadi masalah kepada kami. Sebaliknya, kepelbagaian itulah yang telah menguatkan kita dan meletakkan kita dalam kedudukan untuk mendapat manfaat daripada dunia hari ini yang sebahagian besarnya bersifat global,” katanya.

Justeru, katanya Dr Mahathir mesti mengakui bahawa semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak telah bekerja dan masih bertungkus lumus membina negara ini. 

“Tidak salah jika kita datang daripada latar belakang kaum, agama dan budaya yang berbeza atau bercakap dalam bahasa yang berbeza. Kita sememangnya rakyat Malaysia dan setia kepada negara kita,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan