PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Dalam Kerajaan Perpaduan mengutamakan hak kebebasan bersuara, namun janganlah ada pihak yang mengeluarkan tohmahan atau kenyataan tidak berasas hingga menganggu gugat demokrasi negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata hak kebebasan bersuara jelas wujud dengan adanya pelbagai kandungan di media sosial seperti TikTok, selain pembangkang turut bebas menyatakan pandangan mereka.
“Kebebasan bersuara tetap diutamakan tetapi ia tidak bermakna ada kebebasan fitnah, keluar tohmahan tidak berasas dan cuba ganggu gugat demokrasi dalam negara.
"Saya perlu tegaskan kebebasan suara sihat dalam negara. Hak bersuara itu dibatasi undang-undang sedia ada dan adat resam kita budaya rakyat Malaysia,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara CelcomDigi, SoftBank dan SC-NEX di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Ambiga Sreenevasan yang mahu Kerajaan Perpaduan memberi keutamaan dan perhatian hal berkaitan dengan hak asasi seperti kebebasan bersuara serta kewujudan Akta Hasutan.
Ambiga berkata beliau kecewa dengan tindakan pembaharuan dilakukan oleh kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkannya amat perlahan malah dan dilihat hanya memfokuskan isu memerangi rasuah.
Mengenai Akta Hasutan, Fahmi berkata akta berkenaan hanya digunakan membabitkan kes terpencil antaranya membabitkan perkara yang mendatangkan kesan kepada institusi diraja atau ganggu gugat demokrasi.
“Ia (penggunaan Akta Hasutan) sangat terpencil keadaanya… kalau kita lihat sekarang berlaku dakwaan dalam beberapa kes tertentu sahaja,” katanya,
Fahmi turut menyatakan kesediaan bertemu Ambiga bagi memperjelaskan segala bentuk usaha yang telah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan ketika ini dalam reformasi negara ini.
Antara perkara yang diusahakan kerajaan termasuk pengenalan Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Saya sarankan beliau teliti semula dasar ini kerana ia tunjuk bukti kerajaan ada pandangan cukup jauh dan satu usaha reformasi besar bukan hanya usaha banteras rasuah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial