KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Dua rakyat Malaysia mengaku bersalah pada Selasa atas pertuduhan bersubahat dalam insiden pengeboman Bali pada tahun 2002, selepas ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 2006.
The New York Times melaporkan, Mohammed Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Lep, 47, didakwa pada 2021 iaitu 18 tahun selepas mereka ditahan di Thailand. Hukuman akan dijatuhkan pada minggu depan.
Kedua-dua defendan telah ditahan selama bertahun-tahun dalam rangkaian penjara luar negara rahsia Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).
Pada tahun 2006, mereka dipindahkan ke Teluk Guantanamo untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara yang ditubuhkan bekas Presiden AS George W. Bush selepas serangan 11 Sept.
Turut didakwa Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dari Indonesia.
Bagaimanapun, pada Oktober lepas New York Times melaporkan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir telah mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan menjadi ‘aksesori’ kepada serangan pengganas di Bali, oleh itu kes berkenaan diasingkan daripada kes Hambali.
Hambali kini menghadapi pertuduhan membunuh, melakukan keganasan dan konspirasi dalam insiden pada tahun 2002 dan 2003 dan jika disabitkan bersalah dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Dalam pengakuan mengaku bersalah itu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah, menurut laporan itu.
Pada tahun 2018, Kedua-dua mereka didakwa dengan sembilan kesalahan yang dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan pengeboman sebuah hotel yang meragut 11 nyawa pada 2003.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial