JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan Lempar Dan Koyak Al-quran Di Jempol

21/01/2024 12:02 PM

JEMPOL, 21 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuang helaian dan cebisan al-Quran di Jalan Besar Palong dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata tangkapan dilakukan selepas polis menerima tiga laporan polis berhubung kejadian terbabit.

"Polis menerima laporan daripada seorang wanita memaklumkan telah nampak seorang lelaki menaiki motosikal melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang dikoyakkan di tepi Jalan Besar Palong semalam. Selain itu, polis turut menerima dua laporan penemuaan helaian dan senaskah al-Quran di atas jalan raya itu.  

"Suspek ditahan bersama senaskhah al-Quran dan hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hoo berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berumur 37 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman terhadapnya akan dibuat di mahkamah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A dan 427 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan