AM

Perpaduan Di Malaysia Boleh Disemai Melalui Pemahaman Budaya

21/01/2024 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kepelbagaian budaya dalam masyarakat majmuk di Malaysia boleh dijadikan sebagai pendorong dalam usaha menyemarakkan lagi tahap perpaduan antara kaum.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata tahap perpaduan negara adalah memuaskan tetapi ia masih boleh dimantapkan lagi dengan pemahaman yang lebih mendalam terhadap sesuatu budaya dan kaum.

“Masih ada ruang untuk dibaiki dan ditingkatkan lagi supaya kita (Malaysia) boleh jadi satu negara contoh di rantau ini dan juga di dunia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan Persatuan Integrasi Koordinasi India Malaysia (Incott) 2024 di sini hari ini.

Sambutan yang berlangsung di Sungai Buloh itu turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa selain dimeriahkan lagi dengan kehadiran penduduk setempat yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya.

Dalam pada itu, Saraswathy berkata Ponggal yang disambut di seluruh negara melihatkan penyertaan setiap kaum dan perkara sama perlu diteruskan untuk sambutan perayaan kaum lain.

“Ini menunjukkan bukti bahawa perpaduan negara ktia adalah mesra dan boleh diperbaik, jadi sambutan seperti ini boleh memberi peluang kepada semua masyarakat majmuk untuk faham budaya.

“(Ia) akan memberi suatu keadaan harmoni dalam kalangan rakyat apabila mereka mempunyai pemahaman yang sebenar berkenaan budaya sesuatu etnik di Malaysia,” katanya.

Presiden Incott Suresh Kumar yang juga penganjur sambutan pesta Ponggal itu turut meluahkan rasa terharu apabila menerima sambutan luar biasa terutamanya daripada kaum Cina dan Melayu di kawasan itu untuk sama-sama meraikan sambutan berkenaan.

“Ini menunjukkan keharmonian yang kekal dan tidak dapat diganggu oleh mana-mana pihak … jadi, kami (Incott) akan sentiasa ambil usaha sebegini untuk pupuk kesejahteraan dan keamanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan