AM

Situasi Banjir Di Segamat Tidak Berubah, 43 Mangsa Di Pps

22/01/2024 09:39 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Situasi banjir di Segamat, Johor tidak berubah dengan 43 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini, menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

NADMA dalam laporan tersebut turut memaklumkan tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya yang menunjukkan trend meningkat iaitu Sungai Johor di Kota Tinggi, Johor, Sungai Kedah (Kota Setar, Kedah) dan Sungai Arau (Arau, Perlis).

Sungai Terengganu di Hulu Terengganu, Terengganu turut berada pada paras bahaya manakala Sungai Jemaluang (Mersing, Johor) dan Sungai Duyong (Jasin, Melaka) direkodkan berada pada tahap amaran.

Sebanyak 17 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan cerun runtuh antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang, Jalan Lingkaran Kahang Barat di Kluang, Johor dan Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu.

Menurut NADMA, Lebuhraya Kuantan-Segamat di Pekan, Pahang pula dijangka ditutup sehingga 28 Jan akibat jalan mendap dan Jalan Raya Timur-Barat di Hulu Perak, Perak buat masa ini hanya dibuka satu lorong akibat cerun runtuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan