EKONOMI

Perkongsian Measat-spacex Tingkatkan Ekonomi Negara

25/01/2024 12:27 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Perkongsian antara Measat Global Bhd dan Space Exploration Technologies Corp (SpaceX) membuka peluang untuk ketersambungan yang lebih baik dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat tumpuan serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan ekonomi negara, kata seorang pakar teknologi.

Sebelum ini, Measat dilaporkan telah menandatangani perkongsian secara rasmi dengan SpaceX untuk menjadi penjual semula sah rasmi untuk perkakasan dan perkhidmatan Starlink.

Kerjasama itu membolehkan Measat mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia sehenti untuk pelanggan dalam perkhidmatan dan penyelesaian satelit manakala Starlink akan dapat mendapat manfaat daripada kehadiran pasaran Measat yang mantap dan perkhidmatan pelanggan serta sokongan teknikal kukuh di lapangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kartel Digital Sdn Bhd Hafiz Azman berkata manfaat utama perkongsian itu adalah lebih kepada kualiti dan kebolehpercayaan sambungan Internet yang melengkapkan kepakaran setiap entiti.

"Measat tidak menyediakan sambungan satelit jenis ‘low earth orbit’ (LEO) seperti Starlink yang memberikan sambungan Internet lebih stabil dan lebih pantas bagaimanapun mereka mempunyai kepakaran dan infrastruktur sokongan teknologi untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan tempatan.

"Selain itu, Measat sudah mempunyai ramai pelanggan dalam industri berbeza, justeru ia adalah jenis perkongsian simbiotik yang sudah pasti secara keseluruhannya akan meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan ekonomi negara kita dalam tempoh jangka panjang," katanya kepada Bernama.

Hafiz berkata perkongsian itu pastinya akan mempercepatkan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang menumpukan kepada teknologi digital dan ekonomi kerana kerajaan secara agresif memacu inisiatif Malaysia Digital.

Beliau berkata perkhidmatan sambungan Internet yang lebih baik dan boleh dipercayai boleh menggalakkan produktiviti dalam perniagaan, menggalakkan keusahawanan dan juga membantu mewujudkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi pada masa depan.

Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga boleh memanfaatkan peralatan digital untuk membantu mereka memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

"Menerusi perkongsian antara Measat dan SpaceX ini, saya percaya lebih ramai usahawan tempatan yang akan berjaya bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi di peringkat antarabangsa," kata Hafiz.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan