JENAYAH & MAHKAMAH

Tegur Bakar Sampah, Warga Emas Cedera Di Muka, Kepala Kena Pukul

29/01/2024 07:13 PM

MELAKA, 29 Jan (Bernama) -- Seorang warga emas cedera di bahagian muka akibat ditumbuk dan dipukul di belakang kepala oleh cucu jirannya gara-gara menegur membakar sampah secara terbuka di kawasan tanah mangsa di Tanjung Kling di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian 1.20 tengah hari semalam, mangsa yang merupakan wanita berusia 76 tahun itu pergi berjumpa dengan pemilik inap desa untuk menegur perbuatan cucu lelakinya berusia 26 tahun membakar sampah dalam kawasan tanah warga emas itu.

"Mangsa menegur tindakan suspek lelaki itu membakar sampah secara terbuka dalam kawasan tanahnya sehingga menyebabkan mangsa sesak nafas kerana menghidu asap yang banyak.

"Bagaimanapun berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek sebelum pemuda berkenaan meluru ke arah mangsa dan menumbuk bahagian mukanya beberapa kali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa cuba melarikan diri namun suspek sekali lagi memukul bahagian belakang warga emas itu sehingga mangsa terjatuh.

Menurutnya suspek turut mengugut mahu memukul mangsa dengan kayu sebelum wanita itu berlari masuk ke dalam rumah.

Selepas kejadian itu mangsa telah membuat laporan polis.

Christopher berkata akibat dipukul dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut serta sakit di bahagian belakang kepala dan badan, muka serta leher.

Polis menahan suspek pada 12.10 tengah malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Katanya orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebabkan berita palsu kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran pada masyarakat.

Satu rakaman video berdurasi 29 saat turut tular di media sosial hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan