EKONOMI

ALPHACAPTECH METERAI MOU DENGAN IDMETA, MAJUKAN PERKHIDMATAN KYC DIGITAL DI MALAYSIA

07/02/2024 09:03 AM

SUBANG, 6 Feb (Bernama) -- Alphacaptech Sdn Bhd (ACT), penyedia solusi digital tempatan, berhasrat mempertingkat kecekapan dan keselamatan proses Kenali Pelanggan Digital Anda (KYC) di Malaysia dengan kolaborasi strategiknya dengan Kumpulan IDmeta (IDmeta).

Kedua-dua syarikat hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menggabungkan kehadiran pasaran ACT dengan solusi inovatif IDmeta dalam menangani peningkatan permintaan bagi perkhidmatan verifikasi identiti yang selamat serta lancar merentasi pelbagai indsutri termasuk kewangan, telekomunikasi dan e-dagang. 

Kolaborasi itu juga dijangka memperkenal standard yang ditambah baik dan mewujudkan penanda aras baharu dalam verifikasi identiti daripada pengesahan dokumen sehinggalah pengenalan wajah, menawarkan integrasi perniagaan dan organisasi yang lancar bagi meningkatkan kecekapan serta ketepatan dalam mengendali proses KYC digital. 

Mengulas kolaborasi itu, Ketua Pegawai Operasi ACT Hafez Abdul Rahman berkata ia akan membolehkan syarikat tersebut membangunkan solusi KYC yang menyeluruh untuk pelanggannya yang amat bergantung kepada proses verifikasi identiti dalam operasi perniagaan mereka. 

“Dengan pangkalan data yang kami bangunkan bersama IDmeta, pelanggan kami akan dapat memastikan bahawa pelanggan mereka adalah sah dan prospek yang baik. Ringkasnya, mereka dapat memastikan bahawa seseorang (pelanggan) itu wujud dan tidak mempunyai sebarang rekod yang negatif.

“Apa yang kami tawarkan ialah solusi untuk perniagaan melindungi diri mereka dengan menyediakan antara muka bagi melakukan semakan latar belakang sebelum berurusan dengan pelanggan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDMeta Jen Liang berkata kolaborasi itu akan membolehkan syarikat menawarkan solusi dengan bantuan teknikal dan perniagaan tempatan.

“Di rantau Asia Pasifik, tidak banyak pemain tempatan dan biasanya mereka berasal dari Eropah atau Amerika Syarikat... Dengan kerjasama ACT, kami (IDmeta) kini berada di negara ini dan mampu menyalurkan bantuan dengan menjalin kerjasama dengan pasukan tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan