KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2024, yang akan bermula pada 1 hingga 4 Mac, dijangka menerima lebih 20,000 pengunjung dari 140 negara.
Pameran itu akan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia serta Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur.
Penganjur MIFF 2024, Informa Markets Malaysia memberitahu pameran perabot itu adalah yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara dan berlangsung di 17 dewan seluas 100,000 meter persegi untuk menempatkan peserta pameran dari Malaysia, China, Hong Kong, Jepun, Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Türkiye, Amerika Syarikat dan Vietnam yang akan menampilkan pelbagai rangkaian produk serta reka bentuk yang inovatif.
Ia turut memperkenalkan aplikasi MIFF Furniverse yang akan menjadi alat penting kepada peserta untuk memperibadikan perjalanan mereka dalam bertemu pembekal dan sumber daripada beribu-ribu produk di kedua-dua lokasi tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengurus Besar MIFF, Kelie Lim berkata MIFF telah berada di industri itu selama 30 tahun, dan ia masih berkembang dengan membawa kandungan serta pengalaman yang lebih baik untuk hadirin.
“Tahun ini, kami telah memperbesarkan pameran kepada 17 dewan. Aplikasi MIFF Furniverse akan membolehkan pembeli memanfaatkan sepenuhnya tempoh empat hari itu selain menyampaikan saat yang menyeronokkan serta lancar bagi melihat produk, reka bentuk dan trend terkini untuk pengguna generasi baharu termasuk membuat hubungan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perabot Muar Steve Ong berkata persatuan itu dan industri perabot Malaysia akan terus menyokong MIFF.
“Lebih ramai pembeli dengan kuasa beli yang ketara akan datang ke MIFF, dan ini bagus untuk pertumbuhan perniagaan. Sebagai Bandaraya Perabot Malaysia, Muar, kami bersedia mempamerkan pelbagai produk terbaharu kepada pembeli antarabangsa serta meneroka pasaran baharu muncul bagi mengembangkan jejak global kami,” katanya.
Pada tahun ini, Pertandingan Reka Bentuk Perabot MIFF turut akan dianjurkan dengan tema "Chair-Volution: Celebrating 30 Yeras of Innovation and Design" untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-30.
Pada 2023, acara empat hari itu mencatatkan peningkatan tempahan sebanyak 19 peratus kepada US$1.21 bilion (RM5.78 bilion) dengan 673 peserta pameran.
Sejak 1995, MIFF telah mencapai jualan terkumpul sebanyak US$18.4 bilion (RM87. 83 bilion) dan menerima 182,000 pembeli dari 140 negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial