KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Klang hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pengurus stor daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 39 kilogram, tiga tahun lepas.
Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu terhadap Kumaresan Munusamy, 29, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, di akhir kes pendakwaan.
Norliza dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa dadah berkenaan berada di bawah kawalan tertuduh ketika kejadian.
Peguam Sivahnanthan Ragava yang mewakili tertuduh, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berkenaan di rumah setinggan tidak bernombor di belakang tokong Cina, di Jalan Melawis, Klang di sini pada 8 malam, 11 Nov 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung sejak tahun lepas. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial