AM

Setiausaha Akhbar, Ukk Perlu Rangka Naratif Lawan Fitnah, Tipu Daya - Pm

17/02/2024 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Setiausaha Akhbar dan Unit Komunikasi Korporat, selaku jentera utama komunikasi kerajaan, memiliki peranan penting merangka strategi komunikasi dan naratif berkesan bagi melawan fitnah dan tipu daya pihak tertentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini terutama sekali dalam menangkis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menangguk di air keruh terhadap usaha kerajaan merungkai masalah rakyat dan mengangkat kembali martabat negara ini.

“Usaha dan pendekatan yang diambil tidak akan membawa hasil yang segera, tetapi apa yang pasti rakyat mendapat manfaat dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini.  

Terdahulu, beliau menyempurnakan penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Unit Komunikasi Korporat di Putrajaya, yang menjadi kesinambungan daripada Pemukiman Jemaah Menteri bulan lepas.

Perdana Menteri berkata beliau meletakkan jangkaan amat tinggi terhadap prestasi dan gerak kerja Setiausaha Akhbar dan Unit Komunikasi Korporat yang mempunyai peranan penting menyebar luas dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan.

Beliau turut melahirkan keyakinan pemukiman itu dapat memperbaiki dan memperkukuh usaha kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan terus kepada rakyat.

Turut hadir dalam program pemukiman selama dua hari yang bermula semalam itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan