AM

Global Turbine Asia Kukuh Kedudukan Sebagai Pusat Penyelengaraan Enjin Pesawat

22/02/2024 08:38 AM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 21 Feb (Bernama) -- Global Turbine Asia (GTA) telah memeterai kontrak tiga tahun bernilai RM150 juta dengan kerajaan Malaysia untuk sokongan kepada kumpulan enjin TP400-D6 yang digunakan dalam A400M Airlifter, kata Pengerusi Eksekutif GTA Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi.

Pemeteraian yang dibuat semasa Pertunjukan Udara Singapura 2024 di Pavilion Malaysia hari ini telah mengukuhkan syarikat itu sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Malaysia untuk helikopter serta enjin turbin pesawat tentera.

Ia merupakan syarikat usaha sama Malaysia dengan Safran Helicopter Engines, yang mana, GTA telah dipilih oleh Europrop International Gmbh (EPI) untuk menjadi sebahagian daripada sokongan enjin TP400 yang digelar sebagai pesawat pengangkut udara paling maju pada abad ke-21.

EPI adalah syarikat bersama yang dibentuk oleh empat syarikat enjin pesawat terkemuka Eropah iaitu Industria de Turbo Propulsores, MTU Aero Engines, Rolls-Royce dan Snecma.

“GTA telah mempelopori jalan untuk pertumbuhan industri serta kemahiran di Malaysia, menerajui jalan  agar inovasi dan keupayaan tinggi menjadi aset berimpak tinggi demi masa depan negara,” kata Nonee Ashirin.

“Pada peringkat kumpulan syarikat global, kami berbangga kerana diiktiraf sebagai penyumbang utama kepada landskap perindustrian strategik negara serta menjadi rujukan untuk kemampanan masa depan industri penerbangan,” tambahnya lagi.

GTA dan kumpulan syarikat globalnya meliputi bukan sahaja dalam bidang enjin tetapi turut merangkumi teknologi aeroangkasa serta pertahanan lain seperti komponen, sistem elektrik, avionik, keselamatan dan penyelesaian IT

GTA dalam satu kenyataan akhbar berkata bahawa selama 14 tahun kewujudannya, ia telah mengkhususkan dalam keperluan industri aeroangkasa yang menuntut kepakaran yang amat tinggi melalui melalui perkongsian strategiknya dengan beberapa pengeluar enjin terkemuka seperti Safran.

Kontrak yang telah ditandatangani itu adalah kemuncak kepada usaha sama dengan EPI dan ini telah mengukuhkan asas lagi asas GTA sebagai pusat penyelesaian tempatan Malaysia membabitkan penyelenggaraan enjin turboprop tercanggih, dengan matlamat untuk menjadi pemain utama di rantau ini.

GTA dan kumpulan globalnya juga sedang mencari jalan untuk terus mempercepatkan pertumbuhan industri secara menyeluruh dengan mewujudkan lebih banyak peluang dengan limpahan ekonomi melalui usaha memaksimumkan pulangan pelaburan dalam perkembangan industri aeroangkasa di negara ini.

Selain GTA, terdapat dua lagi kontrak yang ditandatangani melibatkan syarikat sekutunya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan