FOKUS BERNAMA

PENDUDUK BAGAN SUNGAI LIMA TERUSKAN TRADISI 'BAI TI GONG' SETIAP TAHUN

22/02/2024 10:13 AM
Daripada Soon Li Wei

Seawal pukul 7 pagi Sabtu lepas, suasana di Jeti Bagan Sungai Lima, Pulau Ketam, salah sebuah pulau kecil berhampiran Pelabuhan Klang tampak lebih sibuk daripada biasa.

Hari itu 17 Februari adalah hari kelapan sambutan Tahun Baharu Cina dan memandangkan bilangan penumpang lebih ramai, perkhidmatan feri yang singgah di Sungai Lima juga ditambah daripada tiga kepada enam kali.

“Itu anak saya”, “… dah sampai saudara saya” dan pelbagai lagi ungkapan yang penulis dengar daripada mereka yang menunggu ketibaan feri. Ada yang menyampuk kebanyakan penumpang itu adalah perantau yang pulang untuk menyambut acara terpenting masyarakat Hokkien ketika Tahun Baharu Cina, iaitu Hari Kelahiran Maharaja Jed atau 'Ti Gong Dan' bersama-sama keluarga tersayang.  

(Maharaja Jed adalah ketua dewa yang memimpin semua dewa-dewi dan makhluk yang berada di tiga alam iaitu Alam Syurga, Manusia dan Neraka)

Bagi meraikan hari lahir Maharaja Jed, masyarakat Cina keturunan Hokkien akan mengadakan upacara ‘Bai Ti Gong’ (sembahyang khas), tepat pada pukul 12 tengah malam hari kelapan sambutan Tahun Baharu Cina.

pic-2

Ia adalah untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Maharaja Jed yang memberikan perlindungan kepada masyarakat Hokkien di Wilayah Fujian yang ketika itu diserang oleh lanun sewaktu pemerintahan Dinasti Ming.

Selain menyandang beg galas, ada penumpang membawa bahan wajib bagi persiapan upacara 'Bai Ti Gong' seperti buah-buahan, batang tebu, pinggan mangkuk dan kertas sembahyang.

Meskipun cuaca mulai panas, ramai yang masih terpacak di jeti, ada yang berdiri di samping basikal mereka untuk menyambut kepulangan orang yang disayang untuk sama-sama meraikan ‘Ti Gong Dan’.

Terletak kira-kira lima kilometer di bahagian timur Pulau Ketam, terdapat sekitar 350 orang penduduk berketurunan Hokkien di Bagan Sungai Lima dan kebanyakannya menyara hidup sebagai nelayan.

 

SAMBUTAN WAJIB

Lazimnya, hari pertama dan kedua tahun baharu adalah sambutan terbesar buat masyarakat Cina di seluruh dunia, bermula dengan makan besar sehari sebelumnya sehinggalah aktiviti kunjung-mengunjung dan upacara penyembahan nenek moyang di rumah pada hari keduanya. 

Namun, bagi kebanyakan penduduk Bagan Sungai Lima yang terdiri daripada masyarakat Hokkien, sambutan sebenar mereka jatuh pada tengah malam hari kelapan, iaitu sambutan 'Ti Gong Dan'. 

"Kebiasaannya, penduduk kampung ini tidak begitu menyambut Tahun Baharu Cina pada hari pertama dan kedua, hanya upacara makan besar sehari sebelum sambutan itu kerana kebanyakan ketua keluarga mereka akan keluar ke laut untuk mencari rezeki menangkap hasil laut bermula hari ketiga sehinggalah mereka kembali ke darat pada hari ketujuh atau kelapan. 

"Jadi lazimnya, hari kelapan adalah kemuncak sambutan Tahun Baharu Cina bagi kami dan paling meriah di sini," kata pengusaha rumah inap yang juga penduduk generasi ketiga Bagan Sungai Lima, Oscar Lee, 45, kepada Bernama. 

Menurut Lee, perkampungan nelayan itu yang kebiasaannya sunyi dan dipenuhi dengan penduduk warga emas, kembali 'rancak' setiap kali menjelang sambutan 'Ti Gong Dan' dan festival tokong Taoism yang terdapat di Bagan Sungai Lima. 

pic-3

"Kami mempunyai 18 tokong merangkumi pondok kecil dewa-dewa yang kami percaya melindungi penduduk kampung ini sejak kampung ini dibuka kira-kira 50 tahun lepas.  

"Jadi ketika sebarang festival besar-besaran berlaku di kampung ini, anak yang merantau ataupun penduduk yang sudah berhijrah ke kota akan pulang ke sini untuk bersama-sama meraikannya dengan keluarga dan sanak-saudara bagi mengekalkan tradisi turun-temurun ini," katanya.

 

SEJARAH 'TI GONG DAN'

Bagi pesara pengurus logistik Ng Aik Foo, 62, dia serta isteri dan lima orang anaknya turut tidak melepaskan peluang untuk mengadakan upacara sembahyang Maharaja Jed, iaitu acara wajib buat keluarganya. 

Kebiasaannya mereka akan membuat persediaan, sehari sebelumnya, iaitu daripada segi barang-barang keperluan dan makanan untuk upacara sembahyang, antaranya babi panggang, ayam rebus, itik panggang, ikan dan pohon tebu.  

pic-4

Dia berkata, bagi keluarga Hokkien, mereka sanggup berbelanja besar bagi sambutan 'Ti Gong Dan' kerana ia mempunyai kisah bermakna di sebalik sambutan itu, selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan berdoa untuk kesejahteraan hidup.

"‘Ti Gong Dan’ adalah untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Maharaja Jed yang memberikan perlindungan kepada masyarakat Hokkien di Wilayah Fujian yang ketika itu diserang oleh lanun sewaktu pemerintahan Dinasti Ming. 

"Kejadian itu berlaku pada tahun baharu dalam kalendar lunar apabila penduduk yang ketakutan melarikan diri daripada serangan lanun dengan menyembunyikan diri mereka di ladang tebu selama sembilan hari. 

"Pada hari kesembilan, mereka mendapati kesemua lanun sudah beredar, maka terselamatlah mereka. Kebetulan pula hari itu adalah Hari Kelahiran Maharaja Jed. Sejak itu, masyarakat Cina Hokkien percaya bahawa mereka dilindungi oleh Maharaja Jed yang membolehkan mereka bersembunyi di ladang tebu. Sebab itulah pada setiap sambutan ini, wajib untuk kami menyediakan pohon tebu di rumah sebagai simbolik untuk memperingati peristiwa itu," katanya.

Sejarah merekodkan masyarakat Hokkien dari Wilayah Fujian, China datang ke Tanah Melayu dan membina petempatan di tepi laut termasuk Pulau Ketam. Kampung Bagan Sungai Lima antara petempatan komuniti Hokkien terbesar di pulau itu.

 

CARA SEMBAHYANG MENGIKUT KELUARGA

Acara kemuncak bagi sambutan 'Ti Gong Dan' adalah pada pukul 12 malam dengan bermulanya upacara sembahyang yang berlangsung selama 30 minit hingga satu jam.

"Sebelum menyertai upacara sembahyang, kami akan memakai pakaian baharu selepas mandi. Pelbagai jenis makanan serta barang pemujaan diletakkan di atas meja di hadapan rumah dengan pohon tebu dipacak di kiri dan kanan meja itu," jelasnya. 

pic-5

Menurut Lee, terdapat sedikit kelainan upacara penyembahan Maharaja Jed masyarakat Cina Hokkien di Bagan Sungai Lima, berbanding dengan kawasan lain yang dihuni masyarakat Cina Hokkien seperti di Klang (Selangor), Johor, Kedah dan Pulau Pinang. 

"Di Pulau Pinang terutamanya di Jeti Chew, sambutan 'Ti Gong Dan' sudah dikomersialkan iaitu upacaranya diadakan secara beramai-ramai, dengan mengumpul sebanyak mana keluarga yang boleh, dengan tujuan aktiviti pelancongan negeri itu. 

"Di sini pula, pondok kecil diperbuat daripada kertas sebagai simbol Maharaja Jed akan dipamerkan di hadapan meja yang dipenuhi dengan lauk-pauk seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan lima jenis daging yang wajib ada seperti daging babi, ayam, itik, ikan dan hasil laut lain seperti ketam dan udang. 

"Gabungan lima jenis daging yang wajib ada di atas meja sembahyang, kami menggelarkannya sebagai 'Lima Bintang' di kampung ini," katanya.

 

CARA SEMBAHYANG DAN PANTANG LARANG

Ng menambah, sebagai ahli keluarga tertua, dia akan mengetuai upacara memberi penghormatan kepada Maharaja Jed, antaranya membakar colok, diikuti anggota keluarga yang lebih muda.

Upacara berkenaan berakhir dengan mereka membakar longgokan duit kertas yang dilipat dalam bentuk wang kuno yang dikenali dengan nama 'Yuan Bao' di hadapan rumah.

Kemudian mereka akan membakar mercun dan bunga api yang berterusan hingga pukul 4 pagi. 

"Selain itu, bagi keluarga yang berkemampuan, mereka akan menjemput kumpulan tarian singa untuk menambahkan lagi suasana meriah. 

"Selepas acara penyembahan, kami seisi keluarga biasanya menikmati makanan penyembahan kerana kami percaya menikmati makanan yang melalui upacara sembahyang akan membawa keberkatan," katanya menambah, keesokan harinya, rata-rata mereka akan berehat termasuk tidur selepas bergembira sepanjang malam.

Dalam pada itu, kata Ng, terdapat beberapa pantang larang yang harus dipatuhi sepanjang upacara penyembahan Maharaja Jed yang disertai oleh seisi keluarga. 

"Jika mana-mana ahli keluarga wanita yang datang haid, mengandung atau sedang berpantang, mereka tidak dibenarkan menyertai upacara penyembahan kerana dikatakan ‘kotor dan tidak suci’. 

"Semua anggota keluarga yang terlibat digalakkan memakai pakaian berwarna ceria seperti kuning dan merah, dan tidak dibenarkan memakai pakaian berwarna suram dan gelap kerana ia melambangkan kesedihan," katanya. 

Selain itu, jika ada anggota keluarga meninggal dunia, keluarga tersebut dilarang menyambut  ‘Ti Gong Dan’ selama tiga tahun dan perlu berkabung antara 100 hari hingga tiga tahun, bergantung kepada keluarga masing-masing.

 

TARIKAN PELANCONG

Lee berkata, sebagai pengusaha rumah inap di Bagan Sungai Lima, setiap tahun sejak 2015, dia akan membawa pelanggannya yang terdiri daripada pelancong tempatan dan luar negara untuk mengelilingi perkampungan nelayan itu bagi mengalami sendiri suasana meriah sambutan 'Ti Gong Dan'. 

Lebih unik lagi, katanya, setiap keluarga di perkampungan ini masih mengekalkan tradisi untuk menyambut kelahiran Maharaja Jed dengan cara mereka sendiri seperti susunan lauk-pauk di atas meja, buah-buahan yang digunakan serta jenis daging yang digunakan untuk 'Lima Bintang'. 

pic-6

"Boleh dikatakan di Bagan Sungai Lima, kami masih lagi mengekalkan budaya tradisi warisan nenek moyang masing-masing untuk upacara 'Bai Ti Gong' sejak lebih 50 tahun. 

"Jadi apabila saya membawa pelancong untuk menikmati kemeriahan suasana berkenaan, ia ibarat karnival buat mereka dan kebanyakan daripada mereka sangat teruja kerana dapat menyaksikan sendiri bagaimana penduduk kampung melakukan upacara sembahyang itu secara beramai-ramai, selain dapat mempelajari budaya baharu. 

"Ia secara tidak langsung dapat merancakkan aktiviti pelancongan di Bagan Sungai Lima pada setiap sambutan kerana ia mencerminkan budaya masyarakat nelayan menyambut Tahun Baharu Cina secara unik berbanding dengan masyarakat Cina di kawasan lain," katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan