AM

Inisiatif Sara: Beri Kelegaan, Tampung Perbelanjaan Isi Rumah

23/02/2024 09:02 AM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 23 Feb (Bernama) -- Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM1,200 tahun ini berbanding RM600 tahun lepas, memberi kelegaan kepada penerima terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Tukang sapu, Rubiah Uthman, 66, berkata meskipun nilai itu mungkin dilihat kecil bagi sesetengah individu, namun cukup besar bagi golongan sepertinya kerana dapat meringankan perbelanjaan dapur selain menampung bajet bulanan.

“Mak cik bekerja (sebagai) tukang sapu secara separuh masa, empat kali seminggu, Alhamdulillah dengan adanya bantuan ini boleh bantu tampung mana yang tak ada, duit gaji mak cik boleh menyimpan sedikit untuk kecemasan sebab mak cik dan suami, dua-dua tak ada pencen, jadi sangat membantu.

“Dengan adanya bantuan itu bolehlah mak cik buat beli minyak masak, gula, susu dan biskut. Biasa sebulan peruntuk hampir RM200..sekarang macam-macam kerajaan bagi, ada jualan Rahmah dan sebagainya untuk bantu rakyat,” kata ibu kepada empat anak itu kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 19 Jan lepas dilaporkan berkata program SARA dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas, sekali gus menyaksikan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda.

Menurut Anwar usaha itu adalah bagi menambah baik SARA sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup dan pelaksanaan inisiatif berkenaan dilakukan secara berperingkat tahun ini bermula 22 Jan lepas.

Sementara itu, suri rumah, Siti Maryam Harun, 45, berkata menerusi program itu, penerima hanya perlu menunjukkan MyKad untuk membeli barangan keperluan yang disifatkannya sangat memudahkan terutama kepada warga emas dan wanita kerana tidak perlu beratur.

“...juga bagi mengelakkan orang ramai menyalahgunakan bantuan tersebut untuk beli barangan lain...sangat membantu untuk beli keperluan dapur...bantu saya jimat RM100 setiap bulan,” katanya.

Turut sependapat, pesara, Borhan Alias, 65, yang pertama kali memanfaatkan bantuan, melahirkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan kurang berkemampuan sepertinya.

“Alhamdulillah, baru tahu ada bantuan ini daripada kawan, sebelum ini memang tak tahu langsung, dapat tampung kehidupan kami, jadi yang bulan lepas RM100, bulan ini dapat lagi RM100, boleh beli beras, biskut dan minyak,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Tahun ini, kadar bantuan untuk isi rumah SARA ditingkatkan kepada RM1,200 berbanding RM600 pada 2023 manakala kadar untuk golongan bujang kekal RM600.

Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah serta warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

Untuk penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, bantuan SARA disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah serta warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan