AM

Roxy Ixzy Dinobat Juara Bintang Rtm 2024

25/02/2024 12:56 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Berkat keunikan suara yang lunak dan merdu ketika mendendangkan lagu “A Woman's Worth” (Alicia Keys) melayakkan Roxy Ixzy diangkat sebagai Juara Bintang RTM 2024 pada konsert akhir pertandingan itu di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri di sini, malam ini.

Roxy Ixzy membawa pulang wang tunai RM78,000, satu simbolik kepada ulang tahun RTM yang ke-78 pada tahun ini selain sebuah Proton Iriz.

Naib juara, Dhania dan tempat ketiga, Hady Huv masing-masing membawa pulang wang tunai RM35,000 dan RM20,000. 

Tempat keempat hingga keenam menerima RM5,000 manakala Bintang Paling Popular, Jon yang telah menerima 75,000 “likes”, membawa pulang wang tunai RM10,000.

Hadiah-hadiah malam ini ditaja syarikat NesQ Resources Sdn Bhd, DRB Hicom, Royal Chulan Hotels & Resorts dan D&D Beauty House.

Dihoskan oleh pengacara tetap Bintang RTM 2024 Awal Ashaari dan Sissy Iman, pertandingan akhir ini menyaksikan Roxy Ixzy, Eylia Guntabid, Dhania, Hady Huv, Feka dan Joy mempamerkan kehebatan vokal masing-masing untuk diadili juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat, LY, Ernie Zakri dan Aina Abdul sebagai juri jemputan.

Pertandingan pencarian bakat Bintang RTM 2024 kembali tahun ini selepas lima tahun direhatkan. 

Selama 50 tahun bertahan sejak 1973, pertandingan ini meneruskan legasi mencari dan mencungkil bakat dalam bidang nyanyian, dengan memperkenalkan 14 peserta terbaik seluruh negara.

Seramai 14 bakat muda terbaik dipilih oleh pihak penerbitan Bintang RTM 2024 dan mereka terdiri daripada peserta berusia antara 15 hingga 25 tahun. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan