AM

Bernama Raih Empat Anugerah Media Perak 2023

25/02/2024 01:06 AM

IPOH, 24 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul empat anugerah dipertandingkan dalam Anugerah Media Perak 2023 yang disampaikan pada Majlis Makan Malam Media Bersama Menteri Besar Perak di sini malam ini.

Wartawan sambilan Muhamad Azhar Tajuddin memenangi tempat pertama bagi kategori Anugerah Berita Terbaik menerusi artikel bertajuk “Penjaga Jam Menara Condong Galas Amanah Pastikan Ikon Sejarah Terus Berdenting” sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Selain itu, seorang lagi wartawan sambilan Razif Rosli meraih tempat pertama bagi kategori Anugerah Berita Sukan Terbaik menerusi penulisan berita bertajuk “Program Akar Umbi JPN Perak - Perak FC : Misi Bola Sepak Negara Dikuasai Anak Tempatan” dan membawa pulang hadiah sama.

Jurufoto Mohd Zulfadhli Zulkarnain merangkul tempat kedua bagi kategori Anugerah Foto Terbaik dengan tema “MB Bersama Rakyat” manakala wartawan Mohamad Harith Mohamad Nizar memenangi tempat ketiga Anugerah Audio/Visual Terbaik menerusi rencana 'Bergadai Nyawa Demi Kelangsungan Raja Rimba'. 

Mohd Zulfadhli dan Mohamad Harith masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan RM500.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Besar  Datuk Seri Saarani Mohamad.

 Terdahulu, Saarani dalam ucapannya berkata ia merupakan julung kalinya kerajaan negeri memberikan pengiktirafan terhadap kerja keras dan dedikasi para wartawan, jurugambar, dan semua yang terlibat dalam industri media di Perak dalam menyampaikan berita dan maklumat yang berkualiti kepada masyarakat.

"Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa sambutan yang diterima daripada pengamal media Perak sangat memberangsangkan dengan lebih 90 penyertaan diterima membabitkan enam kategori pertandingan.

"Insya-Allah, jika tiada aral, kita akan teruskan penganjuran ini pada tahun hadapan tetapi dengan memfokuskan artikel dan laporan yang banyak memberikan pendedahan terhadap usaha membangunkan negeri dan rakyat melalui Anugerah Media Perak Sejahtera 2030," katanya.

Enam kategori dipertandingkan termasuk dua lagi Anugerah Rencana Terbaik dan Anugerah Berita Ekonomi Terbaik dengan pemenang bagi setiap kategori menerima RM1,500 bagi tempat pertama, kedua (RM1,000) dan ketiga (RM500).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan