AM

Tourism Johor Pantau Projek Pelancongan Negeri

25/02/2024 02:28 PM

JOHOR BAHRU, 25 Feb (Bernama) -- Tourism Johor akan memantau semua projek menambah baik infrastruktur pusat pelancongan menerusi peruntukan kerajaan negeri yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Pengarah Tourism Johor Sharil Nizam Abdul Rahim berkata segala perkembangan mengenai projek yang ditambah baik akan dimaklumkan secara terus kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memegang portfolio pelancongan negeri.

Beliau berkata antara pusat pelancongan yang sedang ditambah baik di negeri itu ialah Zoo Johor dan Taman-Taman Negara.

"Tanggungjawab (baharu) Tourism Johor kena ambil maklum peruntukan yang telah diberikan kerajaan negeri kepada agensi berkaitan untuk naik taraf infrastruktur pusat pelancongan mereka.

"Peranan Tourism Johor, kami tiada produk, jadi tugas kami adalah mempromosi produk agensi lain. Jadi, secara tidak langsung, kami harus ambil tahu bila projek-projek terlibat akan siap untuk memperkasa sektor pelancongan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Johor Bahru Central Bussiness District (CBD) Heritage Walk di Legaran Segget di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hala tuju dan peranan Tourism Johor tahun ini.

Sharil Nizam berkata langkah untuk memantau itu juga adalah sebagai satu daripada persediaan bagi menghadapi Tahun Melawat Johor pada 2026.

Sementara itu, beliau berkata Tourism Johor menyasarkan lebih 20 juta kemasukan pelancong tahun ini, memandangkan negeri tersebut mencatatkan lebih 15 juta pelancong pada tahun lepas.

Justeru katanya usaha bagi mempromosi akan terus dipergiat pihaknya bagi menarik kedatangan pelancong menerusi enam segmen iaitu ekopelancongan, sukan, kesihatan, pendidikan, sejarah dan gastronomi.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan