JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Sabah Rampas Kain Sarung Bernilai Lebih Rm1.6 Juta

29/02/2024 02:55 PM

KOTA KINABALU, 29 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas 175,600 helai kain sarung pelbagai corak bernilai lebih RM1.6 juta pada 5 Jan lepas, dipercayai dibawa masuk kedalam negara tanpa membayar cukai sepatutnya.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata kain sarung yang tersimpan dalam 439 guni itu ditemukan selepas pihaknya menyerbu kondominium di Ashton Tower di Inanam pada pukul 5 petang, dan seorang wanita warganegara China berumur 30an turut ditahan dalam serbuan itu.

Beliau berkata keseluruhan kain yang dianggarkan 39,510 kilogram itu dibawa masuk dari negara China, dipercayai untuk dijual dipasaran tempatan, dan siasatan awal mendapati kain itu diikrarkan sebagai 'garments fabrics' semasa dibawa masuk.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini beliau berkata modus operandi bagi kes itu adalah menggunakan kod tarif yang lain dan deskripsi barang yang tidak betul dalam borang kastam 1, dan ia melibatkan cukai jualan RM163,531.89.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan