JENAYAH & MAHKAMAH

Kebakaran Pasar Raya Besar Mydin Di Manjoi Terkawal - Bomba

11/03/2024 01:05 AM

IPOH, 10 Mac (Bernama) -- Kebakaran pasar raya besar Mydin di Manjoi di sini berjaya dikawal setakat tengah malam ini, dan bomba masih dalam proses memadamkan api sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kecederaan mahupun kemalangan melibatkan mangsa.

“Pada masa sekarang, status masih lagi kita melakukan operasi pemadaman dan dapat mengawal (kebakaran), cuma belum dapat padam sepenuhnya … peratus kemarakan sudah terkawal … itu yang dapat saya nyatakan setakat ini,”’ katanya pada sidang media di sini malam ini.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 7.09 malam bahawa terdapat asap di bilik suis utama sebelum berlaku kebakaran di tingkat atas pasar raya itu.

Sayani berkata operasi memadamkan kebakaran itu melibatkan 123 anggota dan pegawai daripada pihak bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pada masa sama, Sayani berkata mereka juga mendapat bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad, Lembaga Air Perak (LAP), kakitangan Mydin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi Hafez Sabri serta Pusat Khidmat Parlimen Tambun.

Sayani berkata beliau menjangkakan operasi pemadaman kebakaran bangunan itu akan mengambil masa kerana fire load tingkat atas pasar raya terbabit agak tinggi merangkumi antaranya pakaian dan stor barangan, melibatkan keseluruhan bangunan dua tingkat berkeluasan 100x100 kaki.

Sementara itu, beliau berkata pasukan bomba yang tiba pada 7.25 malam telah membuat pemeriksaan, namun tiada kebakaran yang berlaku melainkan terdapat asap pada bahagian papan suis utama Mydin, sebelum 20 minit kemudiannya dimaklumkan pengawal pasar raya itu bahawa berlaku kebakaran di bahagian bumbung bangunan.

“Pasukan (bomba) gerakkan jentera di bahagian hadapan bangunan Mydin dan benar berlaku kebakaran di bahagian bumbung dan telah memulakan operasi pemadaman serta didapati bahawa kebakaran marak dengan cepat.

“Dimaklumkan juga bahawa di bahagian atas bumbung terdapatnya panel solar dan mereka (bomba) cuba untuk mengawal kebakaran dan guna pili bomba Mydin dan LAP,” katanya.

Sayani berkata kebakaran bermula dari bumbung sebelum merebak ke dalam bangunan berkenaan dan setakat ini, tiada rumah penduduk yang berdekatan terjejas dengan kejadian itu.

Justeru, beliau berkata pihaknya menunggu laporan daripada pasukan forensik bagi mengetahui punca kebakaran, selain menganggap terlalu awal untuk membuat andaian mengenai perkara itu.

Sementara itu, seorang pekerja Mydin yang enggan dikenali berkata api kecil mula kelihatan di tempat meletak barang di kawasan belakang tingkat dua pasar raya berkenaan kira-kira 6.45 petang, dan kedengaran bunyi letupan kira-kira sejam kemudian sebelum api merebak sehingga tingkat bawah.

“Semua petugas dan pengguna telah pun diarah keluar dari bangunan ketika bomba dihubungi untuk datang ke lokasi. Loceng di bangunan ini dibunyikan supaya orang ramai peka dengan amaran itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke lokasi mendapati sebahagian struktur bangunan pasar raya itu runtuh kira-kira 10.40 malam.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan