IPOH, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini melancarkan pelan pengurusan lalu lintas berkesan utama iaitu Pelan Induk Perancangan Pengurusan Lalu Lintas dan Infrastruktur 2023-2033.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata pelan induk itu adalah dokumen perancangan jangka panjang hingga 2033 yang akan memastikan kelancaran di enam zon yang dikenal pasti.
"Pertambahan pesat kenderaan di Ipoh memerlukan satu sistem pengurusan lalu lintas yang efisien dan menyeluruh selain mengambil kira keperluan pengurusan lalu lintas yang secara tidak langsung bakal memimpin pertumbuhan kawasan terbabit.
"Pelan induk ini terbahagi kepada Jalan Sultan Azlan Shah iaitu Zon A, Jalan Raja Dihilir (Zon B), Jalan Sultan Nazrin Shah (Zon C), Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab (Zon D), Jalan Raja Musa Aziz/Jalan Raja Ashman Shah (Zon E) dan Jalan Sultan Iskandar Shah/kawasan pekan lama Ipoh," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Induk Landskap Ipoh 2023-2035, Pelan Induk Perancangan Pengurusan Lalu Lintas dan Infrastruktur MBI 2023-2033, Aplikasi IpohGo, Video Korporat MBI dan Video Pelancongan Ipoh di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini.
Sandrea berkata kajian dibuat secara mikroskopik dan makroskopik dengan penghasilan laporan bertulis serta laporan model simulasi tiga dimensi agar penambahbaikan dapat dinilai secara lebih realistik.
"Kita ambil contoh keberkesanan lalu lintas di Jalan Tambun yang berjaya menangani isu kesesakan lalu lintas secara bersepadu berbanding sebelum ini yang menggunakan lampu isyarat, kita tukar kepada laluan satu aliran yang ada pusingan U untuk kita sesuaikan di tempat lain.
"Kajian ini turut meliputi laluan pejalan kaki dan basikal berkonsepkan laluan hijau, cadangan keperluan tempat letak kereta warga kota termasuk penambahbaikan pilihan mod pengangkutan awam," katanya.
Sementara itu Sandrea turut menyatakan kerajaan negeri sedia berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) .
"Kita sebelum ini sudah ada perbincangan awal dengan KPKT berhubung perkara ini dan Perak sentiasa terbuka dengan hasrat kementerian untuk melaksanakannya.
"Perak menyambut baik jika KPKT mahu adakan perbincangan lanjut malah kita akan pastikan semua input dari setiap negeri yang sudah melaksanakan akta ini kita nilai agar bersesuaian dengan Perak selepas ia dilaksanakan kelak, apa-apa pun perbincangan menyeluruh perlu dilaksanakan," katanya.
Akta 672 adalah untuk memastikan keseragaman undang-undang pengawalan dan pengawalseliaan perkara yang berhubung dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam supaya lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial