KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mencatatkan kutipan wakaf tunai sebanyak RM39,550,462.18 hingga hujung tahun lepas iaitu peningkatan 54 peratus sejak ia dilancarkan pada 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dari segi agihan pula, sejumlah RM24,694,257.45 iaitu hampir 60 peratus telah dibelanjakan setakat 31 Dis lepas.
“Sebagai contoh menerusi produk Wakaf Air bagi tujuan menyalurkan bekalan air bersih, sejumlah RM3.5 juta telah diagihkan untuk pelaksanaan 75 projek di seluruh negara melibatkan 7,734 rumah yang memanfaatkan 40,008 penduduk.
“Selain itu di bawah program CIMB Islamic Rider Enterpreneur 2.0, sejumlah RM300,000 melalui dana Wakaf Bertempoh telah dibelanjakan bagi tujuan penyediaan motosikal dan latihan untuk 32 belia yang terkesan akibat COVID-19 sebagai penghantar makanan,” katanya pada majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
Turut hadir dalam program berkenaan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Datuk Selamat Paigo, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Norliza Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM Dr Ridzwan Bakar.
Mohd Na’im yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wakaf Malaysia menyeru agensi kerajaan dan korporat bekerjasama di peringkat Persekutuan dalam membangunkan inisiatif wakaf demi membantu masyarakat seterusnya menjayakan agenda Ekonomi MADANI.
Beliau berkata inisiatif itu turut melibatkan semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) agar projek berimpak tinggi seperti infrastruktur, sekuriti makanan dan kesihatan dapat dilaksanakan.
“Bagi tujuan ini, saya gariskan empat tindakan yang perlu dilaksanakan segera oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan YWM antaranya menggembeleng tenaga bersama MAIN agar usaha melonjakkan potensi wakaf dapat direalisasikan menjelang 2030.
“Selain itu, penglibatan syarikat korporat bagi melaksanakan Wakaf Produktif atau Wakaf Ekonomi yang akan diaplikasikan sama ada di atas hartanah wakaf sedia ada untuk mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf tersebut atau mewujudkan aset wakaf baharu melalui kaedah Sijil Wakaf,” katanya.
Menurutnya pihak JAWHAR dan YWM turut disaran meneroka konsep Wakaf Bertempoh atau Wakaf Muaqqat sebagai sumber dana alternatif bagi membangunkan tanah wakaf di seluruh negara dengan penglibatan syarikat korporat, dana luar negara, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan individu.
“Seterusnya mempergiat segmen pengagihan dana wakaf bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhan tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan,” katanya.
Dalam pada itu Mohd Na’im turut melancarkan myWaqafPTPTN iaitu kerjasama antara YWM dan PTPTN yang akan memberi fokus kepada Wakaf Pendidikan Tinggi serta Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di Universiti Awam terbitan JAWHAR.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial