KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Sebanyak 10,000 jawatan kosong ditawarkan kepada mana-mana individu yang masih mencari peluang pekerjaan pada Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2024.
Perkeso dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peluang pekerjaan itu ditawarkan oleh lebih 50 majikan pada karnival yang sedang berlangsung bermula 14 hingga 16 Mac di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
“Pelbagai calon majikan termasuk pemain industri utama seperti RHB, HSBC, UOA Group, DHL, CoOpbank Pertama, HABIB Group dan banyak lagi menyertai karnival kali ini untuk mencari bakat baharu bagi mengisi peluang pekerjaan.
“… pelbagai peringkat jawatan bermula daripada kelayakan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke ijazah sarjana ditawarkan dengan anggaran 60 peratus jawatan adalah kumpulan eksekutif,” menurut kenyataan itu.
Selain itu Perkeso turut memaklumkan pencari kerja yang belum pasti dengan hala tuju kerjaya yang diidamkan juga digalakkan hadir kerana agensi itu menerusi portal pekerjaan rasmi negara MYFutureJobs turut menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan kerjaya.
“Antaranya sesi kaunseling kerjaya, teknik penyediaan resume, khidmat padanan pekerjaan, taklimat kebolehpasaran serta yang menarik untuk karnival kali ini adalah tawaran waktu bekerja fleksible dengan gaji berpatutan turut sedia untuk diisi buat pencari kerja yang hadir.
“Selain karnival kerjaya terdapat juga aktiviti menarik lain yang boleh disertai dalam karnival yang berlangsung sempena sambutan Hari Wanita, seperti taklimat Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), pameran agensi kerajaan dan penyedia latihan serta pemeriksaan kesihatan percuma,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan rekod perangkaan Perkeso dari 2020 hingga 29 Feb lepas mencatatkan sebanyak 2,547,724 pencari kerja telah berdaftar di portal MYFutureJobs dengan sekitar 52.21 peratus (1,330,580) pencari kerja adalah wanita.
Menurut Perkeso dalam tempoh sama sebanyak 1,016,583 pencari kerja telah berjaya mendapatkan pekerjaan dengan sekitar 47.62 peratus (484,088) merupakan pencari kerja wanita.
Dalam pada itu orang ramai boleh melayari www.myfuturejobs.gov.my untuk carian pekerjaan secara dalam talian serta percuma atau hadir ke karnival kerjaya MYFutureJobs dengan mendaftar di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.
Bagi majikan yang ingin menawarkan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, mereka juga boleh layari www.myfuturejobs.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial