PENDANG, 19 Mac ( Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di empat lokasi di Kedah pada tahun ini.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata buat permulaan, program itu diadakan di Pasar Ramadan Kubur Panjang di sini dengan menawarkan pelbagai menu Rahmah pada harga bawah RM5.
Beliau berkata tiga lokasi lain ialah Pasar Ramadan Pekan Guar Chempedak di Yan, Pasar Ramadan Taman Bandar Baru di Pokok Sena dan Pasar Ramadan Pekan Baling.
"Di samping menawarkan menu Rahmah pada harga murah untuk berbuka puasa, program ini mampu menggalakkan peniaga menyediakan pelbagai konsep penyediaan makanan dan produk seimbang berteraskan menu Rahmah bagi membantu rakyat," katanya selepas merasmikan Program Bazar Ramadan Rahmah di sini hari ini.
Inisiatif BRR dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara KPDN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan sejak dilancarkan pada Mac 2023.
"Kita merancang untuk menambah bilangan lokasi atas permintaan orang ramai dan pada masa yang sama, suntikan insentif tanpa tunai diberikan kepada peniaga serta pengunjung BRR di seluruh negara," katanya.
KPDN juga akan meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan dengan pemberian insentif e-tunai kepada pengguna dan peniaga dalam bentuk e-dompet.
Sementara itu, seorang pengunjung Mohd Sabri Aziz, 48, berkata program berkenaan perlu diperluas ke lokasi lain bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmatinya.
"Memang rakyat nantikan program sebegini kerana kos hidup pun makin meningkat, jadi dengan program ini dapatlah berjimat ketika membeli juadah berbuka, saya harap ia diteruskan sampai bila-bila," kata pekerja swasta itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial