JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- JLand Group Sdn Bhd (JLG) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat bioteknologi ALPS Global Holding Bhd (ALPS) untuk membangunkan hab bioteknologi di Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Sedenak, Johor.
JLG ialah cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp).
Dalam kenyataan bersama, JLG dan ALPS berkata hab bioteknologi yang akan dibangunkan itu dijangka menjana anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM980 juta.
Kerjasama antara kedua-dua pihak itu akan menjadi inisiatif strategik Malaysia untuk mengambil peluang terhadap trajektori pertumbuhan industri bioteknologi yang berkembang pesat, menurut kenyataan itu.
Hab penyelidikan terkini itu bersedia untuk menangani cabaran paling mendesak dalam penjagaan kesihatan, termasuk pembuatan dan pembangunan vaksin, genomik, perubatan regeneratif, imunoterapi dan genetik.
Pengarah Hartanah dan Infrastruktur JCorp Datuk Akmal Ahmad berkata jalinan kerjasama itu menandakan satu kejayaan dalam inovasi bioteknologi di peringkat global, memupuk ekosistem yang kondusif untuk merintis penyelidikan, pertukaran pengetahuan dan kemajuan ekonomi.
“Hab bioteknologi itu dijangka merevolusikan sektor ini dan berfungsi sebagai tambahan kepada hab pusat data kami yang sedia ada dan hab kecerdasan buatan (AI) yang akan datang,” katanya.
Akmal, yang juga Timbalan Pengerusi JLG berkata pembangunan itu akan menyatukan industri zaman baharu, perintis digital dan pembelajaran sepanjang hayat dalam persekitaran maju yang direka untuk pertumbuhan mampan sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial