AM

Khom, Ngo Malaysia Pertama Laksana Operasi Gugur Bantuan Ke Utara Gaza

21/03/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Sebanyak 480 kotak makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia akan dihantar secara airdrop ke utara Gaza, Palestin menggunakan pesawat kargo Tentera Udara Diraja Jordan, C130 dalam masa terdekat.

Misi berkenaan adalah yang pertama melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Karisma Humanitarian Outreach Mission( KHOM) dengan kerjasama Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan (JHCO), Childcare Charity Association (CCCA) dan Tentera Udara Diraja Jordan.

Pengarah Misi KHOM Nik Marina Hussin berkata ‘Operasi Kecemasan Airdrop Gaza’ itu satu-satunya pilihan yang ada bagi membantu penduduk di utara Gaza yang sedang berdepan kebuluran berikutan penutupan semua akses masuk oleh tentera Israel.

"Ini langkah kemanusiaan terbaru KHOM dalam misi bantuan ke Palestin menerusi inisiatif penghantaran secara airdrop yang dimulakan oleh Tentera Udara Diraja Jordan bagi membantu sekitar 300,000 penduduk Palestin yang terputus sumber bekalan,” katanya kepada Bernama.

Nik Marina berkata selain bantuan makanan, sebanyak 200 kotak kit kebersihan diri juga akan dihantar menggunakan trak melalui jalan darat.

"Kami dimaklumkan bantuan dijangka tiba di utara Gaza dalam masa seminggu susulan proses koordinasi yang perlu dilaksanakan oleh pihak tentera selain mengikut giliran dan kesesuaian jadual penghantaran," katanya.

Beliau yang kini berada di Amman, Jordan berkata pihaknya juga sedang memantau kerja-kerja pembungkusan di gudang yang terletak di Zarqa, sebelum membuat penyerahan kepada wakil JHCO dan seterusnya disampaikan kepada pihak Tentera Udara Diraja Jordan.

Nik Marina berkata inisiatif KHOM ini diharap akan membuka jalan kepada lebih banyak NGO Malaysia mendapatkan akses penghantaran bantuan ke utara Gaza.

"Kami mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama dengan KHOM bagi menghantar bantuan ke utara Gaza," katanya.

Operasi airdrop ini merupakan fasa ke-14 kempen KHOM dalam membantu Palestin sejak perang ke atas Gaza meletus pada Oktober lepas.

KHOM, sebuah NGO berdaftar giat melaksanakan misi kemanusiaan di enam negara termasuk Jordan, Syria dan Palestin, antara lain bagi membantu pelarian dan mangsa perang.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan