JOHOR BAHRU, 21 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor hari ini menahan pengurus besar dan pengurus pengeluaran sebuah kilang berasaskan oleokimia di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, untuk membantu siasatan kerana dipercayai melepaskan efluen perindustrian ke longkang awam dan mencemarkan Sungai Tukang Batu.
Pengarah JAS Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata lelaki tempatan berumur 44 dan 38 tahun itu ditahan di kilang terbabit pada 5 petang tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.
“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima aduan awam berhubung pencemaran efluen perindustrian berwarna putih ke longkang awam dan seterusnya ke sungai berkenaan pada Isnin lepas.
Mohd Famey berkata susulan itu, JAS Cawangan Pasir Gudang bertindak menjalankan siasatan, namun mendapati masih terdapat pelepasan efluen perindustrian berwarna putih serta berbuih pada keesokannya.
Beliau berkata pihaknya turut menerima aduan mengenai pelepasan air berwarna hitam di lokasi aduan yang sama pada hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial