AM

Anwar, Zahid Ucap Takziah Kepada Keluarga Jaafar Onn

03/04/2024 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga penghibur tanah air Jaafar Onn yang meninggal dunia hari ini. 

Beliau turut mendoakan roh Allahyarham diberikan keampunan dan urusan keluarganya dipermudahkan. 

"Kepada kita yang mengikuti dunia hiburan, pasti terkesan dengan berita ini tatkala Allahyarham sentiasa menghiburkan masyarakat dengan bakatnya yang unik dan tersendiri dalam bidang lakonan dan muzik," katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya.

Jaafar Onn atau nama sebenarnya Jaafar Onn Awang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang pada 11.30 pagi tadi, di usia 73 tahun.

Berita pemergian selebriti serba boleh itu disahkan anak angkatnya Mohamad Hanif Hashim menerusi kiriman suara aplikasi WhatsApp. 

Media sebelum ini melaporkan tahap kesihatan pengacara dan pelakon veteran itu berada dalam keadaan kurang baik sehingga perlu bergerak menggunakan kerusi roda, dan semalam Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di akaun Facebooknya pula menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan yang amat dirasai rakyat jelata.

Beliau berkata pemergian Allahyarham pasti dirasai kerana selebriti banyak berjasa dalam dunia hiburan dengan kemahiran lakonan, nyanyian dan pengacaraan yang serba boleh.

“Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan maghfirah kepada Allahyarham Jaafar Onn serta ditempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Saya juga berdoa agar keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan, kesabaran, dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Al-Fatihah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan