JENAYAH & MAHKAMAH

TEMBAKAN DI KLIA: SUSPEK MILIKI TIGA REKOD JENAYAH LAMPAU

14/04/2024 12:23 PM

SEPANG, 14 April (Bernama) -- Lelaki yang melepaskan dua das tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dua daripadanya berkaitan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan satu kes di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Beliau berkata mangsa iaitu isteri suspek sebelum ini membuat dua laporan di bawah Seksyen 506 pada 2016 dan 2023.

"Laporan berkaitan Seksyen 506 terbaharu pada Disember lepas. Hasil laporan itu, suspek ditangkap polis. Kami hantar kertas siasatan namun ada beberapa arahan lain perlu dilaksanakan. Mengambil (iktibar) insiden terakhir isteri suspek menggaji pengawal peribadi," katanya pada sidang media selepas meninjau lapangan terbang berkenaan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata berdasarkan siasatan awal, motif kejadian adalah disebabkan masalah peribadi antara lelaki terbabit dan isterinya yang dipercayai dalam peringkat awal kehamilan.

Menurut Mohd Shuhaily pasangan suami isteri itu juga dikatakan dalam proses bercerai.

Beliau berkata jarak lelaki itu melepaskan tembakan ke arah isterinya antara tiga hingga empat meter.

“Kejadian kira-kira 1.20 pagi di pintu masuk ketibaan KLIA Terminal 1 dilakukan suspek yang mulanya melempar mercun hingga mencederakan dua orang awam, sebelum nekad menghampiri mangsa (isteri) yang diiringi dua pengawal peribadi,” katanya.

Satu das tembakan, katanya tersasar namun satu lagi terkena seorang daripada pengawal peribadi terbabit dan lelaki itu kemudian melarikan diri dengan kereta yang diparkir di aras dua Blok C.

Mohd Shuhaily berkata pengawal peribadi yang terkena tembakan pada perut berada dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata proses mengambil keterangan daripada hampir 30 individu yang berada di sekitar balai ketibaan KLIA 1 sedang dilakukan termasuk mangsa, pengawal peribadi, polis bantuan serta orang awam.

Menurut Mohd Shuhaily mangsa memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dan dia ditenangkan susulan kes tembakan itu.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan