FOKUS BERNAMA

Persiapkan Malaysia Untuk Tenaga Kerja Berusia

15/04/2024 06:54 PM
Daripada Nina Muslim

Sekalipun sudah bersara selepas 33 tahun bekerja, Vijay Nadarajah, 61, begitu ingin kembali ke alam pekerjaan.

Dia pulang ke Malaysia kira-kira hampir dua tahun lalu, setelah menghabiskan 18 tahun di luar negara seperti Indonesia, Oman dan Pakistan, bekerja untuk sebuah syarikat pengurusan pelabuhan antarabangsa berpangkalan di Hong Kong.   

Sama seperti Malaysia, dasar syarikatnya menuntut dia bersara apabila berusia 60 tahun. Enam bulan pertama selepas persaraan, dia habiskan dengan melawat anak perempuan kembarnya di Kanada, bersama-sama isteri. Namun, sebaik kembali ke rumahnya di Shah Alam, Selangor, dia tidak mahu menghabiskan masa dengan bermain golf dan melancong.

“Saya faham (syarikat saya dulu) ada dasar (bersara wajib pada usia 60 tahun). Akan tetapi, saya rasa saya masih ada kemampuan untuk bekerja, lebih-lebih lagi sekarang,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, dia mula mencari pekerjaan dan memohon apa sahaja jawatan yang dirasakan bagus. Dia juga mendaftar dengan agensi pencari pekerjaan, mengikuti kelas bagi menambah baik kemahiran selain memastikan dia seiring dengan perkembangan semasa. Dia turut mendaftar dengan portal pencari pekerjaan yang menghubungkan warga emas dengan majikan berpotensi.

pic-2

Seperti kebanyakan mereka yang seusia dengannya, Vijay berasa belum bersedia untuk “direhatkan”, mengumpamakan umur 60-an itu seperti 50-an. Kemajuan sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan taraf hidup membolehkan rakyat Malaysia lanjut usia dengan kesihatan yang lebih baik. Ditambah pula dengan penurunan kadar kelahiran, pasaran buruh Malaysia tidak lagi didominasi oleh mereka yang berusia 20-an.  

Walaupun begitu, tidak banyak tumpuan diberikan kepada usaha membantu pesara mendapatkan pekerjaan, kecuali segelintir firma seperti HireSeniors, portal penempatan pekerjaan bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas, dan syarikat berkaitan kerajaan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp). 

 

MENGGAJI WARGA EMAS

Malaysia mencapai status negara menua pada 2021 dengan tujuh peratus daripada populasi berusia 65 tahun dan ke atas, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). Menjelang 2030, angka itu dijangka mencecah lebih 14 peratus, menjadikan Malaysia negara tua. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata diunjurkan menjelang 2040, warga yang berusia 60 tahun ke atas adalah seramai 7.3 juta orang.

Menurut DoSM, mereka yang baru berusia 60 tahun dijangka boleh hidup selama lebih sedekad lagi, iaitu 18.2 tahun bagi lelaki dan 20.9 tahun untuk wanita. 

Pada masa sama, kadar kesuburan juga menurun, iaitu 1.6 anak bagi seorang wanita pada 2023. Pakar ekonomi berkata bagi menggantikan tenaga kerja semasa, Malaysia memerlukan kadar kelahiran 2.1. Untuk menampung kekurangan itu, kemungkinan besar mereka yang sudah berusia masih perlu berada dalam pasaran buruh bagi tempoh lebih lama.

“Masyarakat mengakui yang kita sedang menjadi masyarakat tua, justeru kami, sebagai majikan, perlu lebih terbuka dan akur bahawa kita perlu bergantung pada warga emas,” kata Siew Eng, Pengarah Sumber Manusia HireSeniors.

"Oleh itu, majikan tidak seharusnya ketepikan idea mengambil warga emas kerana saya fikir orang lama menawarkan (sumbangan berdasarkan) pengalaman luas."

Walaupun menerima hakikat bahawa umur purata tenaga kerja pada masa depan adalah lebih tua, tidak banyak yang dibuat tentang peluang pekerjaan untuk golongan berusia. Sebaliknya, kebanyakan perbincangan bertumpu pada usaha menambah baik dan meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan penjagaan kesihatan warga emas serta kepentingan menabung untuk persaraan.  

Perkhidmatan bagi menghubungkan warga emas dengan pekerjaan tidak banyak, dan kalau adapun adalah terhad atau masih belum dikenali.

pic-3

Sebagai contoh, TalentCorp yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia, mempunyai beberapa program untuk membantu warga emas Malaysia mencari pekerjaan seperti Career Comeback Programme buat golongan ekspart yang kembali ke tanah air. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Thomas Mathew berkata kerajaan juga terlibat secara aktif dalam kajian Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) yang dijadualkan siap pada 2024. NAB adalah rangka kerja dasar komprehensif untuk menangani pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh warga tua.

“Melihat perkara ini, TalentCorp mengambil langkah proaktif sejak Jun tahun lalu untuk memastikan pekerja berusia ini mendapat pekerjaan dan terus menyumbang secara bermakna kepada negara. Walaupun dalam skala kecil, ini adalah langkah pertama dalam mengubah masa depan dan menyediakan keperluan ekonomi mereka,” katanya.

Tahun ini, TalentCorp bekerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera yang membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia mendapat pekerjaan selepas menamatkan khidmat dengan pasukan itu.

Bagi HireSeniors, Siew Eng berkata beliau percaya mereka satu-satunya portal pengambilan pekerja khusus untuk warga emas buat masa ini, namun perkhidmatan mereka hanya di Lembah Klang.

 

TUA-TUA KELAPA 

Mengakui orang tua akan menjadi sebahagian besar daripada tenaga kerja pada masa depan, namun peluang pekerjaan untuk mereka sangat kurang, dan ini mungkin ada kaitan dengan diskriminasi  umur serta tanggapan bahawa orang tua sudah tidak ada kegunaan lagi. 

Pakar memberitahu Bernama bahawa ageisme atau diskriminasi umur, berleluasa dalam pasaran kerja Malaysia. Mereka berkata banyak syarikat meletakkan had umur semasa mengambil pekerja, seperti mengetepikan calon yang berumur 40 tahun ke atas.

Naib Presiden MEF Farid Basir berkata hal itu amat merugikan kerana ramai pesara dan warga emas mempunyai pengalaman luas yang boleh dikongsikan dengan generasi muda serta membantu dalam  perpindahan pengetahuan. 

“Dengan membiarkan mereka berada lebih lama dalam pasaran buruh di Malaysia, kita boleh kekalkan kemahiran dan menghalang wujudnya jurang pengetahuan yang mungkin terjadi akibat persaraan besar-besaran,” katanya.

pic-4

Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia mendapati banyak syarikat keberatan mengambil warga emas dengan sesetengah iklan pekerjaan kerap kali mengecualikan calon berusia 40 tahun ke atas.

Ketua Program Gerontologi Perubatan MyAgeing Prof Dr Chan Yoke Mun berkata amat penting diwujudkan persekitaran yang menyokong bagi membantu warga emas melanjutkan tempoh bekerja mereka seperti melaksanakan aturan kerja anjal dan dasar yang dapat mengekang amalan diskriminasi umur.

Satu cara yang boleh dilakukan ialah mensyaratkan warga emas dan generasi lebih muda mengikuti latihan pendidikan tentang memupuk amalan inklusif usia. 

“Adalah amat penting untuk memastikan peralihan kepada tenaga kerja menua berjalan lancar dan memaksimumkan sumbangan berpotensi oleh semua kumpulan usia,” tambah beliau.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus tentang diskriminasi umur, perundangan buruh sedia ada, iaitu Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Umur Persaraan Minimum 2012, memastikan pekerja mempunyai jaminan pekerjaan.

Vijay yang memberitahu Bernama dia turut berdepan diskriminasi usia ketika mencari pekerjaan, berkata dia tidak menerima sebarang maklum balas daripada syarikat apabila dia memohon sendiri. Dia kemudian menggunakan khidmat ‘headhunter’ atau perekrut eksekutif untuk membantunya mendapatkan pekerjaan. 

“Perekrut eksekutif mengakui, amat sukar untuk seseorang sebaya saya mendapat pekerjaan kerana syarikat lazimnya mencari pemohon yang lebih muda,” kongsinya. 

Siew Eng berkata mujur ada sesetengah syarikat lebih suka menggaji warga emas dalam kapasiti tertentu seperti perunding atau pemandu. Warga emas bukan sahaja mempunyai banyak pengalaman tetapi juga lebih stabil dan boleh dipercayai, kurang kemungkinan mengambil cuti kerana kecemasan keluarga serta tidak begitu peduli tentang persaingan di tempat kerja.

Walaupun begitu, ada beberapa pekerjaan yang tidak dapat dilakukan oleh warga emas seperti kerja berat, dan suka atau tidak, mereka lebih kerap menghadapi masalah kesihatan berbanding rakan sekerja yang lebih muda.

 

PERKARA YANG PERLU DITIMBANG 

Selain faedah kepada ekonomi, bekerja juga membantu warga emas menjadi lebih sihat, terutama dari segi mental.

“Dari perspektif sumber manusia, bekerja memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental dan fizikal, kerana keadaan itu memberikan seseorang hala tuju, interaksi sosial, rasa terangkum.  Dapat tak bayangkan perasaan terasing yang akan dilalui jika anda hanya memerap di rumah?” soal Farid yang juga Ketua Pegawai Modal Insan MBSB Bank Berhad.

Tambah beliau, umur persaraan wajib perlu, dan kemungkinan besar, dinaikkan selaras dengan perubahan demografik, namun katanya, terpulang kepada pekerja sama ada mahu terus bekerja ataupun tidak.

Dr Chan berkata bekerja selepas umur persaraan boleh memberikan faedah ketara kepada pekerja dan juga masyarakat. 

“Dari perspektif kesihatan, kajian terdahulu mendapati peralihan daripada bekerja kepada bersara boleh membawa kepada pengurangan rangsangan kognitif yang mungkin mempunyai kesan kemerosotan ke atas kesihatan kognitif seseorang dan menunjukkan peningkatan risiko demensia. Oleh itu, kekal bekerja dan bersara lebih lewat daripada usia persaraan boleh membantu mengurangkan risiko demensia,” katanya.

Tambah beliau, ini akan membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan kerajaan kerana warga emas masih mampu meraih pendapatan dan membayar kos perubatan mereka.

pic-5

Bekerja selepas usia persaraan juga memberikan peluang kepada warga emas menambah simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memandangkan tidak ramai rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan pada usia senja.

Pada Mac lepas, KWSP dilaporkan berkata hanya 33 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan sebanyak RM240,000, iaitu jumlah yang diperlukan untuk bersara dengan selesa. Setakat Disember 2023, KWSP mempunyai 16.07 juta pencarum.  

 

ISU

Bagaimanapun pakar turut mengingatkan bahawa bekerja selepas usia persaraan bukan untuk semua warga emas. Bagi sesetengah mereka, kekal bekerja membuatkan hidup mereka lebih bermakna, sementara yang lain pula lebih sesuai bersara dan menghabiskan masa dengan melancong.

Dr Chan berkata persaraan awal tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan memberi impak kepada status kesihatan seseorang. Mereka yang merancang lebih awal sebelum persaraan selalunya mempunyai lebih banyak peluang untuk meningkatkan keterlibatan sosial mereka.

“Mereka boleh luangkan lebih banyak masa bersama keluarga serta melakukan aktiviti yang tidak dapat mereka lakukan semasa usia bekerja sebelum ini. Hasilnya, mereka akan menua secara aktif dan mengekalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Vijay boleh mengesahkan manfaat yang diterimanya sebagai warga emas bekerja.

Selepas 10 bulan mencari pekerjaan, dia diterima bekerja dalam bidang sumber manusia oleh Genashtim, sebuah syarikat multinasional yang berkaitan dengan komuniti terpinggir dan menumpukan pada e-pembelajaran, pendigitalan serta perkhidmatan berkaitan pendidikan, sosial dan tadbir urus.

Vijay puas hati dengan kehidupannya dan berhasrat menyumbang sebanyak mungkin selagi terdaya. Satu-satunya perkara yang perlu “direhatkan” adalah idea bahawa kehidupan berakhir selepas berusia 60 tahun.

“Tidak semestinya anda perlu berehat hanya kerana anda telah mencecah usia 70 tahun. Bagi saya, itu semua bergantung pada individu,” katanya.

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan