JENAYAH & MAHKAMAH

KETUA PENGARAH APMM BERSARA WAJIB ESOK SELEPAS 42 TAHUN BERKHIDMAT

18/04/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin bersara wajib berkuat kuasa esok selepas 42 tahun berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.

APMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Hamid yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah APMM keenam pada 6 Nov tahun lepas telah meletakkan teras utama kepada seluruh warga agensi dengan memfokuskan integriti, operasi dan ilmu dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

Walaupun Hamid hanya menerajui agensi terbabit dalam tempoh lima bulan, namun beliau telah melakarkan banyak kejayaan untuk pasukan itu termasuk peningkatan operasi khususnya di sempadan perairan negara dan menguruskan pertambahan aset.

“Antaranya perolehan empat helikopter medium lift, sebuah kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS), dua New Generation Petrol Craft (NGPC), dua bot pemintas Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan lima bot pemintas Rigid Hull Fenders Boat (RHFB) selain Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dari US Coast Guard.

“Beliau juga berjaya memastikan OPV1 yang dinamakan sebagai Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah disiapkan dan beroperasi di perairan Sarawak pada awal tahun ini,” katanya.

Selain itu, Hamid turut berjaya melancarkan Pelan Strategik APMM 2023-2033 yang bakal dijadikan landasan untuk agensi berkenaan mencapai status sebagai Pusat Kecemerlangan Serantau dalam Penguatkuasaan Maritim dan Carilamat atau Bantuan Bencana.

Hamid pernah bertugas untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserapkan ke APMM bermula 31 Okt 2005 sebagai pegawai perintis dan menyandang beberapa jawatan penting lain dalam agensi termasuk Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.

Sempena menghargai jasa Hamid sebagai Ketua Pengarah APMM, satu acara 'street lining' diadakan di pekarangan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya, hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan