EKONOMI

ACCCIM DIJANGKA ADAKAN 400 PADANAN PERNIAGAAN DI KONVENSYEN USAHAWAN CINA SEDUNIA

18/04/2024 10:09 PM

PETALING JAYA, 18 April (Bernama) -- Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dijangka mengadakan kira-kira 400 padanan perniagaan semasa Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17 yang akan berlansung mulai 9 hingga 11 Sept, 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Presiden, Senator Tan Sri Low Kian Chuan berkata industri tumpuan bagi padanan perniagaan itu termasuk makanan dan pertanian, kenderaan, kenderaan elektrik, produk pengguna, industri pintar dan teknologi maklumat, peralatan perubatan dan penjagaan kesihatan, serta perkhidmatan.

“WCEC ialah konvensyen utama yang menghimpunkan ketua perniagaan dan usahawan Cina di seluruh dunia, pemimpin kerajaan dan wakil sektor swasta.

“Konvensyen ini akan menjadi pemangkin untuk mencetuskan perkongsian perniagaan yang inovatif dan kerjasama serantau,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media mengenai WCEC itu di sini, pada Khamis.

Ini adalah kali kedua Malaysia menjadi penganjur bagi acara itu dengan yang pertama untuk edisi ketujuh pada 2003.

Low yang juga pengerusi jawatankuasa penganjuran WCEC berkata konvensyen itu dijangka menarik sekurang-kurangnya 1,500 ketua perniagaan tempatan dan 3,000 perwakilan luar negara dari Asia, Amerika Utara, Eropah, Amerika Selatan, Oceania, Timur Tengah dan Afrika.

“Konvensyen ini juga memberi peluang untuk mengetengahkan peluang perniagaan Malaysia yang tidak terhad dan status tarikannya sebagai lokasi kepelbagaian Asia, terutama semasa kita bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden ACCCIM Datuk Ng Yih Pyng berkata WCEC ke-17 yang bertemakan ‘Reimagineering the Future’ bertujuan merevolusikan aliran serta dinamik semasa dan akan datang yang membentuk landskap ekonomi dan perniagaan global.

“Platform itu juga mempamerkan kisah pelaburan Malaysia di Asean. Antara topik tematik termasuk trend dan pandangan untuk masa depan dan memajukan teknologi seperti kecerdasan buatan, semikonduktor, pelaburan hijau, pintu masuk pelaburan ke Asean dan pembangunan ekonomi Cina dalam era baharu.

“Topik lain yang menarik ialah pempengaruh teknologi, advokasi tanggungjawab sosial dan keusahawanan muda,” katanya.

Ng berkata WCEC juga menyasar untuk memupuk hubungan lebih kukuh antara pelabur berpotensi dan landskap pelaburan yang semakin berkembang di Malaysia dan rantau ini.

“Kami ingin memperkasakan kalangan perwakilan untuk berkongsi pengalaman, membincangkan cabaran semasa dan masa depan, meneroka peluang pembangunan dan memupuk kerjasama,” katanya.

Beliau berkata akan terdapat lebih 100 reruai semasa konvensyen itu.

Pameran, lawatan tapak, lawatan sambil belajar dan misi perniagaan pascakonvensyen adalah antara aktiviti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan