DUNIA

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

19/04/2024 12:29 AM

DUBAI, 18 April (Bernama-WAM) -- Ketua Pegawai Operasi (COO) Lapangan Terbang Dubai, Majed Al Joker mengumumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) akan kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh 24 jam, menandakan kembalinya kapasiti penuh dan jadual biasa.

Terminal 1 dan Terminal 3 telah pun memulakan normalisasi secara beransur-ansur, menyebabkan pergerakan lebih lancar, katanya dalam kenyataan kepada Agensi Berita Emirates (WAM).

Menekankan keselamatan penumpang sebagai keutamaan, Al Joker berkata usaha kerjasama antara pasukan lapangan terbang, rakan kongsi dan syarikat penerbangan telah membantu memastikan keadaan kembali normal dan memudahkan pengembara yang terjejas.

Mengenai usaha yang dilakukan sejak beberapa jam dan hari yang lepas, Al Joker menekankan bahawa pasukan tindak balas dan kecemasan lapangan terbang, pelbagai jabatan, rakan strategik dan syarikat penerbangan telah bekerja keras menyelaraskan usaha untuk memulihkan keadaan serta membantu penumpang dan pelanggan yang terjejas.

Beliau juga menyatakan bahawa entiti yang telah bekerja dan masih berusaha untuk memulihkan keadaan termasuk pelbagai jabatan swasta dan kerajaan serta entiti dari dalam dan luar lapangan terbang.

Selain itu katanya komunikasi berterusan dengan penumpang untuk memenuhi keperluan seperti penjadualan semula penerbangan atau tempahan semula serta hidangan ringan.

Lapangan Terbang Dubai turut memuji kakitangan yang berdedikasi dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan serta mengucapkan terima kasih kepada pelawat yang memahami keadaan getir itu.

-- BERNAMA-WAM

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan