AM

Program Advokasi Dan Jangkauan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan Juara Anugerah Wsis 2024

19/04/2024 10:13 AM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Program Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah World Summit On The Information Society Prizes 2024 (WSIS 2024).

Program itu merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan, Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.

MCMC dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan anugerah berkenaan dimenangi bagi 5 Action Lines Kategori 5 iaitu Membina Keyakinan dan Keselamatan dalam Penggunaan Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Kejayaan inisiatif MCMC meraih Anugerah WSIS membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projek yang telah dibangunkan oleh MCMC dalam memperkasakan keterangkuman digital dalam kalangan masyarakat orang Asli melalui penyediaan akses ICT serta keselamatan dan literasi digital," menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan anugerah WSIS akan disampaikan pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2024 yang akan dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland pada 30 Mei ini.

Program yang bermula sejak 2023 itu memberi fokus kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak, remaja dan ibu bapa dalam kalangan masyarakat orang Asli terhadap amalan terbaik melayari Internet.

WSIS Prizes adalah pertandingan antarabangsa yang dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan