EKONOMI

MARGMA YAKIN PERMINTAAN SARUNG TANGAN GETAH GLOBAL MENINGKAT PADA 2024

19/04/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) yakin permintaan global terhadap sarung tangan getah akan meningkat pada 2024.

Keyakinan itu berdasarkan unjuran lonjakan permintaan kepada 450 bilion helai sarung tangan menjelang 2027 meskipun permintaan menyusut kepada 307.2 bilion pada 2023, katanya.

Menurut MARGMA  peningkatan permintaan dalam pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun, mendorong trajektori itu, serta penggunaan sarung tangan yang semakin meluas dalam sektor bukan perubatan selepas COVID-19, termasuk hotel, restoran, kafe, industri semikonduktor, dan lain-lain. 

“Majlis Getah Malaysia (MRC) menjangkakan lonjakan permintaan dan bersedia untuk menyokong industri dalam mencapai sasaran pertumbuhannya.

“Kerjasama dan pandangan dikongsi akan menjadi penting dalam  keutamaan kerajaan tempatan dan permintaan antarabangsa,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

 Presiden MARGMA Oon Kim Hung berkata permintaan sarung tangan getah global mengalami turun naik, namun komitmen dalam memenuhi permintaan sarung tangan berkualiti tinggi kekal kukuh.

Dalam hal ini kami harus mengutamakan keadilan, ketelusan dan kemampanan dalam semua amalan kami dan khususnya amalan penetapan harga kami, katanya. 

Beliau berkata beberapa cabaran terbesar yang masih berlarutan termasuk harga purata jualan (ASP) yang rendah dan isu lebihan bekalan, namun ini tidak bermakna pemain industri sarung tangan getah Malaysia perlu melanggar etika untuk mengatasi persaingan sengit daripada pemain serantau.

“Kita boleh melaksanakan inisiatif lain untuk menangani daya saing ini seperti mendapatkan sokongan kerajaan dalam pelbagai perkara. Kami telah merayu kepada kerajaan untuk menghapuskan segera duti eksport ini, bagi membolehkan industri mengatasi cabaran semasa dan meningkatkan daya saing globalnya dalam era pasca pandemik,” kata Oon.

MARGMA turut menyokong usaha untuk memperkemas dasar seperti Perjanjian Pembekalan Gas (GSA) dan pemansuhan serta-merta duti eksport untuk meningkatkan daya saing industri.

Ini kerana menurut Oon, selama dua dekad, industri sarung tangan getah dibebani duti eksport 0.2 peratus, melibatkan pembayaran kira-kira RM500 juta. 

"Dalam tahun-tahun terbaik kami, duti ini berjumlah antara dua dan tiga peratus daripada keuntungan kasar kami.

“Bagaimanapun, memandangkan iklim ekonomi semasa, dengan Harga Jualan Purata (ASP) jatuh di bawah kos pengeluaran, industri terus mengalami kerugian pada setiap kontena yang dieksport,” katanya.

Mengenai pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), MARGMA menyeru semua pemain industri untuk mematuhi standard itu bagi menjamin masa depan industri.

Pada masa yang sama, Oon berkata persatuan itu giat bekerjasama dengan MRC dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk menyokong ahli dalam menambah baik kad skor ESG mereka dan menerima pakai amalan mampan serta pendigitalan sejajar dengan seruan kerajaan MADANI.

“Dalam kerjasama dengan MRC, LGM dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk melaksanakan inisiatif 'Getah Asli Malaysia Lestari', kami juga harus memperkenalkan 'Sarung Tangan Hijau' dan pilihan sarung tangan mesra alam yang lain, yang memperlihatkan usaha dan komitmen kami terhadap amalan mampan dan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Di samping itu, Oon berkata ahli persatuan komited sepenuhnya dan telah mencapai kemajuan yang ketara ke arah pematuhan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan Corporate Sustainability Due Diligence Directive (CSDDD) bagi negara Kesatuan Eropah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan